Tangku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Tempoh rayuan Geran Khas Prihatin (GKP) 2.0 akan dibuka dari 7 hingga 21 Disember 2020.

Ini bagi memberi peluang kepada perayu untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen sokongan untuk disemak/diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Geran Khas Prihatin (GKP) merupakan bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM3,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan.

Ia bagi meringankan beban kewangan perniagaan yang dihadapi ekoran penularan wabak Covid-19. Di samping itu, bantuan ini bermatlamat meningkatkan produktiviti pengeluaran dan perkhidmatan demi kelangsungan PKS mikro.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, setakat ini, hampir 850,000 PKS mikro telah menerima GKP dan GKP 2.0, dengan jumlah bantuan kewangan keseluruhan sebanyak RM2.55 bilion.

”Kerajaan amat prihatin akan cabaran yang dihadapi oleh PKS secara amnya terutamanya PKS mikro. Sehubungan itu, GKP dan GKP 2.0 merupakan komitmen berterusan kerajaan dalam membantu PKS mikro yang terjejas,” katanya di sini.

Bagi memastikan PKS mikro yang benar-benar layak menerima GKP 2.0, setiap permohonan disemak silang dengan data agensi yang ditetapkan kerajaan sehingga 31 Ogos 2020, termasuk di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian di Portal GKP, https://gkp.hasil.gov.my. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast