Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed menunjukkan wajah suspek yang dikedendaki pihak polis pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Suspek utama kes pembunuhan bekas Penyelidik Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) yang bersembunyi di Rinching, Semenyih ditahan polis awal pagi tadi.

Tangkapan suspek utama itu dilakukan selepas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur dengan bantuan D8 JSJ Bukit Aman menahan dua suspek di Setapak Sentral, Jalan Genting Klang pada jam 3.30 pagi dan Air Panas, dekat sini pada jam 4.30 pagi.

Pengarah JSJ Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, suspek utama telah melarikan diri selepas melakukan pembunuhan di Bukit Bandaraya, Bangsar pada awal pagi Ahad dan bersembunyi di Rinching.

“Dia mempunyai dua rekod jenayah lampau serta penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi Ahad, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan akibat ditetak.

Menurut Huzir, ketiga-tiga suspek yang ditangkap itu mengaku terlibat dalam kejadian itu dan suspek utama turut mnegaku menetak mangsa.

Sementara itu, Huzir memberitahu, polis masih memburu seorang lagi suspek yang dikenali sebagai Abdul, atau nama sebenarnya Sugu Thanggarajoo, 27, yang disyaki terlibat dalam kes bunuh dan samun itu.

Tambah beliau, hasil siasatan mendapati empat orang terlibat dalam kejadian samun dan bunuh itu.

“Dua suspek masuk ke dalam rumah, samun dan menetak manakala dua lagi suspek menunggu di luar (termasuk Sugu Thanggarajoo)

“Jika suspek keempat ini ditangkap, kita percaya berjaya menyelesaikan kes samun di Bangsar itu manakala 10 orang lagi ahli kumpulan sama yang direman semalam perlu ditahan kerana mereka terlibat dalam kes-kes samun yang lain,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.