Siti Nurhaliza.

KUALA LUMPUR – Siapa boleh menafikan aura figura muzik tersohor tanahair Datuk Seri Siti Nurhaliza. Video muzik rasminya berjudul Siapa Tak Mahu yang baru sahaja dimuat naik pada 16 Oktober lalu menjadikan peminat seni tanah air teruja sehinggakan video itu berjaya mencapai satu juta tontonan dalam tempoh 72 jam.

Malah video tersebut turut tersenarai pada kedudukan pertama Video Muzik Paling Trending di YouTube Malaysia.

Jika peminat teruja dengan keindahan visual video muzik Siapa Tak Mahu’ pastinya mereka akan lebih tertarik dengan penceritaan video muzik rasmi terbaharu, Kuasa Cintamu.

Lagu ciptaan Melly Goeslow dan lirik tulisan bersama Siti ini menjadi video muzik ketujuh daripada album ManifestaSITI2020.

Bagi menterjemah secara visual maksud di sebalik lirik lagu ini, pengarahnya, Adriana Tunku memfokuskan cerita perjalanan hidup Siti dari zaman kelahirannya sehingga dikurniakan cahayamata sendiri, Siti Aafiyah.

Menjelaskan idea disebalik konsep video muzik ini, Adriana Tunku berkata, bila diteliti, lagu Kuasa Cintamu sebenarnya sarat dengan emosi yang bercerita tentang cinta yang bersifat universal.

Siti Nurhaliza kini muncul dengan video muzik rasmi Kuasa Cintamu.

Jelasnya, ia boleh merujuk kepada beberapa bentuk cinta yang ada dalam kehidupan kita, cinta kepada Tuhan, cinta kepada pasangan, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada keluarga dan cinta kepada anak.

Menerusi video muzik ini, pihaknya mengambil tema yang lebih luas dalam menggambarkan kuasa cinta dalam kehidupan seseorang itu.

“Menampilkan kisah hidup Siti sendiri sebagai tema utama dalam video muzik ini, kami cuba menyorot kembali perjalanan hidupnya dari kecil hingga dewasa dan setiap bentuk cinta yang pernah dirasainya dari dahulu hingga kini.

“Bagi menggambarkan perjalanan berterusan dalam kehidupan Siti, kami merakam keseluruhan video muzik ini dalam satu urutan tanpa sebarang gangguan. Teknik penggambaran sekali rakam ini memerlukan perancangan yang rapi kerana ia dirakam dari perspektif satu kamera dalam satu masa dan ruang yang sama.

“Setiap butiran kecil melibatkan apa-apa perubahan di hadapan lensa kamera perlu dirancang rapi agar penonton tidak menyedari apa yang berlaku di belakang lensa kamera. Untuk mendapatkan ‘shot’ yang sempurna, kami terpaksa melakukannya berulang-kali,” jelas Adriana lagi tentang pendekatan kreatif yang diambil dalam merealisasikan idea asal video muzik ini dari papan cerita ke skrin.

Menyifatkan Siti adalah penyanyi yang paling profesional yang pernah bekerjasama dengannya, penerbit Razlan Shah berkata, bekerja dengan penghibur itu adalah suatu pengalaman yang sangat berharga buat pasukan mereka.

“Siti cukup komited ketika pembikinan video muzik ini dan sentiasa memberikan yang terbaik ketika beraksi di hadapan lensa kamera. Sikap rendah diri dan profesionalismenya telah melayakkan Siti bergelar penyanyi nombor satu di Malaysia.

“Saya berterima kasih kepada Siti kerana memberi peluang kepada pasukan kami untuk memaparkan kisah peribadi hidupnya dalam video muzik sekali rakam ini. Saya juga berterima kasih kepada pasukan produksi Denhouse, Studio Selepas Ribut serta penata gaya Kel Wen dan Abu Shaef Hamza yang banyak membantu dalam merealisasikan visi artistik video muzik ini,” katanya.

Kuasa Cintamu kisah Siti Nurhaliza untuk mendapatkan zuriat.

Sementara itu, video muzik rasmi Kuasa Cintamu bukan sahaja membawakan kelainan daripada segi teknik penggambaran, lebih istimewa apabila Siti Aafiyah turut terlibat menjayakannya.

Bertepatan dengan lirik yang dihasilkan, Siti meluahkan penantiannya untuk memiliki Siti Aafiyah adalah satu anugerah daripada Yang Maha Berkuasa.

Mengulas tentang video muzik terbaharunya ini, Siti ini berkata, ia merupakan satu pengalaman baru buat dirinya kerana menjayakan penggambaran dalam satu urutan tanpa henti serta dalam masa yang sama saya harus menukar persalinan dalam masa beberapa saat sahaja.

“Kami mencuba beberapa kali dan akhirnya pihak pengarah mengambil hasil yang terbaik daripada penggambaran tersebut. Siti Aafiyah juga turut menyerikan video ini dan saya mendedikasikan video ini buat anakanda saya,’’ katanya.

Video muzik rasmi Kuasa Cintamu kini boleh dilayari di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula semalam.

Album ManifestaSITI2020 boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer sejak awal Julai lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast