Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MOHD ADZLAN, 02 DISEMBER 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil pendekatan tunggu dan lihat keberkesanan vaksin Covid-19 yang akan digunakan di United Kingdom (UK), mulai minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pemerhatian itu bagi memastikan tiada kesan sampingan terhadap pengguna vaksin itu.

“Kualiti vaksin tersebut pun perlu kita lihat dan ini adalah kaedah dalam menjalankan pendaftaran di negara kita melalui Agensi Kawalselia Bahan Perubatan dan Kesihatan (MHRA).

“Jadi sekarang ini masih di peringkat awal, masing-masing hanya perlu memerhatikan kesan sampingan dan kebimbangan banyak negara adalah kesan sampingan sama ada akan berlaku atau tidak,” katanya dalam sidang media di KKM, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai langkah kerajaan United Kingdom (UK) secara rasmi telah mengarahkan MHRA supaya menilai vaksin buatan.

Menurut beliau, UK hanya menggunakan vaksin itu sebagai langkah kecemasan untuk darurat malah vaksin itu tidak didaftarkan oleh mereka.

Justeru itu katanya, Malaysia terpaksa mengambil langkah tunggu dan lihat sehingga vaksin itu didaftarkan bagi membolehkan ia digunakan di negara ini.

“Negara-negara lain mungkin akan menggunakan klausa tersebut dengan menggunakan vaksin tersebut bagi kaedah darurat. Jadi mereka tidak menggunakan kaedah dengan mendaftar vaksin tersebut dalam peraturan mereka.

“Jadi kita tidak ada pengecualian dari segi pendaftaran vaksin secara darurat, kita kena melalui proses sebagaimana yang telah ditentukan dalam akta.

Ini adalah untuk memastikan keselamatan vaksin tersebut dan keberkesanan vaksin tersebut,” katanya lagi.

Dr Noor Hisham menambah, tempoh untuk tunggu dan lihat itu akan mengambil masa tiga bulan demi melihat keberkesanan vaksin berkenaan.

“Apapun kita tunggu juga kajian klinikal fasa tiga yang masih belum kita lihat dan dikaji sepenuhnya. Kita perlukan data-data sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Jadi perjanjian kita untuk dapatkan vaksin ialah ia perlu dan mesti didaftarkan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan juga MHRA,” jelas beliau.

Untuk rekod, Britain telah memulalan penilaian terhadap vaksin oleh kedua-dua syarikat itu dan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan diberitahu untuk bersedia mulai 1 Disember lalu. – MalaysiaGazette