Myvi, model terlaris Perodua.

KUALA LUMPUR – Perodua berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan tahun ini sebanyak 210,000 unit apabila menambah jualan  sebanyak 23,110 unit kenderaan pada bulan lalu.

Malah, Perodua turut merekodkan angka pendaftaran tertinggi dalam sehari pada hari ke-30 bulan November sebanyak 5,027 unit.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jualan November memaparkan sedikit penormalan daripada pencapaian dua bulan rekod kami sebelum ini – 25,035 unit pada September dan 26,852 pada Oktober.

Menurutnya, pencapaian ini mengagumkan di sebalik keadaan ekonomi yang mencabar ini dan prosedur operasi normal baharu akibat Covid-19.

Dengan jualan 6,295 untuk Myvi, 6,318 Axia, 6,224 Bezza, 2,617 Aruz dan 1,665 Alza pada November, jualan Perodua setakat tahun ini telah mencecah 195,000 kenderaan.

Zainal berkata, dua keutamaan Perodua pada masa ini adalah untuk memastikan seramai mungkin pelanggannya dapat menerima kenderaan mereka sebelum akhir tahun untuk menikmati harga tanpa cukai jualan serta untuk terus menyokong ekosistem automotif Malaysia pada masa yang sukar ini.

Menurutnya, lebih 90% daripada komponen Perodua diperoleh secara tempatan, dan ditambah dengan jumlah jualan kami, ini menjana perniagaan yang signifikan bagi para pembekal tempatan dan membantu mereka mengekalkan pekerjaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast