Seorang pemandu lori ais batu disyaki menampar juruwang di sebuah pasar raya di Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang pemandu lori ais batu selepas didakwa menampar seorang wanita yang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Klang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek yang juga seorang lelaki berusia 38 tahun itu ditahan di rumahnya di sekitar Klang oleh sepasukan anggota dari Cawangan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

“Suspek telah diberi jamin polis pada 1 Disember lalu. Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat pendakwa raya untuk mendapatkan arahan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berdasarkan semakan yang dibuat pihaknya, suspek didapati mempunyai empat rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.

“Kes di siasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, juruwang terbabit telah membuat laporan polis kira-kira jam 11.30 malam pada 30 November lalu.

Menurut laporan polis pengadu, semasa kejadian dia ditampar oleh seorang lelaki Melayu semasa sedang bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar raya di Klang.

“Kejadian berlaku disebabkan salah faham di mana semasa isteri suspek membuat pembayaran di kaunter pengadu yang telah memasukkan barang ke dalam plastik dalam keadaan tergesa-gesa.

“Ini kerana kedai akan ditutup pada masa itu. Isteri suspek telah menceritakan kejadian selepas keluar dari kedai.

“Selang beberapa minit kemudian suspek telah datang dalam keadaan marah dan telah menampar pengadu di pipi sebelah kiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette