ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

PETALING JAYA – Polis Petaling Jaya membuka 57 kertas siasatan membabitkan pinjaman tidak wujud menerusi laporan polis yang diterima dari Januari hingga November lalu yang megakibatkan mangsa kerugian hampir RM700,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 28 tangkapan telah dibuat dan dituduh di mahkamah.

“Modus operandi yang digunakan suspek sindiket pinjaman tidak wujud adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman menggunakan medium media sosial Facebook, Mesej Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan mesej melalui WhatsApp secara rambang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, sasaran sindiket menjadikan individu yang mempunyai masalah kewangan semasa penularan Covid-19.

Tambahnya, mangsa merasakan ia merupakan peluang untuk mendapatkan pinjaman secara pantas dengan kadar bayaran bulanan yang rendah.

“Iklan yang menjanjikan proses kewangan diperolehi dengan segera tanpa masalah membuatkan pengadu terpengaruh sekaligus ianya dapat membebaskannya dari belenggu masalah kewangan.

“Namun mangsa mula menyedari ditipu apabila pelbagai bayaran untuk memproses pinjaman tersebut diminta bayar iaitu ke atas akaun penama-penama individu.

“Apabila pengadu mempersoalkan pelbagai soalan kepada suspek, suspek mula memberi pelbagai alasan tidak munasabah dan terus tidak menjawab serta menyekat panggilan dan perbualan daripada mangsa sehingga mangsa terpaksa menanggung kerugian yang dilaburkan kepada suspek,” ujarnya.

Nik Ezanee berkata, hasil siasatan polis Komersial Petaling Jaya mendapati suspek menggunakan akaun pihak ketiga, atau keldai akaun, untuk memperdayakan mangsa dengan meminta mangsa membuat sejumlah pembayaran tertentu sebelum mendapatkan pinjaman.

Katanya, pemilik akaun tersebut bukannya suspek sebaliknya menjadi mangsa kepada sindikit pinjaman tidak wujud.

Ujat beliau, dengan habuan tidak seberapa dari suspek yang tidak dikenali, pemilim akaun pihak ketiga sanggup ‘menjual’ akaun bank dan kad ATM tanpa mengetahui ia disalahguna untuk kegiatan aktiviti jenayah.

“Orang ramai dinasihatkan supata berurusan dengan pihak atau agensi yang dikenali sahaja sekiranya ingin membuat pinjaman kewangan.

“Jangan mudah terpengaruh dengan tawaran atau iklan pinjaman yang menjanjikan janji-janji manis yang cukup membahayakan diri.

“Sila abaikan semua tawaran dan iklan mengenai pinjaman kewangan ekspress dan seumpama yang dipaparkan dalam media sosial dengan kesedaran bahawa ia sebenarnya sindiket pinjaman tak wujud yang hanya menjerat dan merugikan anda,” kata beliau. – MalaysiaGazette