khairuddin aman razali
Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Kabinet bersetuju dengan cadangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memperluaskan penggunaan bitumen terubah suai getah bekuan (CMB) bagi pembinaan dan penyenggaraan jalan raya di seluruh negeri yang didaftarkan dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, perluasan penggunaan teknologi CMB adalah antara usaha untuk mengurangkan impak kejatuhan harga terhadap pendapatan 500,000 pekebun kecil di negara ini khususnya, berikutan pandemik Covid-19 melalui peningkatan permintaan terhadap bekalan getah domestik.

Menurut beliau, menjadi harapan kementerian dengan penggunaan CMB ini dapat mencapai matlamat berkenaan, di samping menggalakkan golongan penoreh getah untuk terus menoreh bagi menjamin pengeluaran bekalan getah secara berterusan.

Katanya, penggunaan CMB dalam adunan untuk menghasilkan asfalt terubah suai getah bekuan atau Cuplump Modified Asphalt (CMA) dapat menambahkan kualiti dan prestasi keseluruhan bitumen melalui ciri-ciri kelikatan serta keanjalannya.

Penambahbaikan ini meningkatkan daya tahan terhadap proses peredaran masa dan rintangan haba, sekali gus memberikan penjimatan terhadap keperluan menyenggara jalan akibat kerosakan seperti aluran, rekahan dan lubang dalam jangka masa panjang.

Tambah beliau, perluasan penggunaan CMB di jalan raya MARRIS seperti yang disyorkan KPPK, dapat mengukuhkan sumber rujukan domestik kejayaan aplikasi teknologi CMB sebelum ia dapat diperluas di peringkat antarabangsa.

Anggaran penjimatan menyeluruh daripada aspek penyenggaraan bagi 1,000 kilometer adalah sebanyak RM167 juta atau 40 peratus lebih rendah berbanding penggunaan bitumen konvensional, sekiranya jangka hayat jalan CMB menjangkau 10 tahun.

Ujarnya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.2 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-11 bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan CMB.

Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk memperbanyakkan turapan jalan raya mengunakan teknologi CMB, yang siap sepenuhnya pada Mei 2020 merangkumi jalan raya sepanjang 202.68 kilometer di 106 lokasi seluruh negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast