P. Maniam.

KUALA LUMPUR – Skuad Petaling Jaya City (PJ City) mengambil pendekatan berbeza apabila bakal menggunakan khidmat pemain tempatan sepenuhnya tanpa kelibat pemain import dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Perkembangan itu disahkan oleh pengendali baharu PJ City, P. Maniam yang menyifatkan langkah tersebut adalah untuk memberi peluang kepada pemain tempatan membuktikan kemampuan mereka berdepan lawan yang lebih kuat.

“Tidak mustahil untuk bermain tanpa pemain import. Sekarang pemain tempatan juga berpeluang membuktikan nilai mereka. Ini bermakna mereka tidak boleh berfikir untuk bermain secara individu, sebaliknya perlu bermain sebagai satu pasukan dan meningkatkan mutu permainan mereka untuk mencapai hasilnya.

“Kami sedang mencari dua penyerang, seorang pemain pertahanan dan pemain tengah.  Kami mahukan pemain nombor sembilan (penyerang utama) yang boleh mengawal bola dan menjaringkan gol dalam situasi genting.

“Kami mempunyai Darren Lok, yang mengintai peluang untuk kembali ke pasukan kebangsaan, selain mengekalkan M Kogileswaran Raj dan P Yugan,” katanya kepada Bernama.

Antara penyerang tempatan yang dikaitkan dengan perpindahan ke PJ City ialah Norshahrul Idlan Talaha dan Zaquan Adha.

Kedua-duanya pernah mewakili skuad kebangsaan dan berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.

Ketiadaan pemain import juga memberi kelebihan kepada PJ City untuk menjimatkan kos operasi pasukan susulan penularan wabak pandemik Covid-19 yang tidak menentu ketika ini.

Pemilik kelab, Datuk Seri Vijay Eswaran turut  memahami keluhan jurulatih skuad kebangsaan yang tidak mempunyai penyerang tempatan berkualiti kerana kebanyakan pasukan Liga Super lebih mengutamakan pemain import di posisi tersebut.

“Saya percaya dengan bakat pemain tempatan. Saya mahu buktikan PJ City mampu beraksi dengan cemerlang tanpa memenuhi kuota maksimum lima pemain import (dalam Liga Super).

“Jika semua pasukan menggunakan jumlah maksimum pemain import, 60 pemain tempatan tidak akan mendapat peluang beraksi dalam kesebelasan utama pasukan.

“Tidak hairanlah jurulatih skuad kebangsaan selalu mengadu mereka tidak mempunyai pemain yang berkualiti di posisi serangan dan tengah kerana dalam Liga Malaysia posisi tersebut diisi oleh pemain import,” katanya dalam temubual bersama New Straits Times. – MalaysiaGazette