Gambar hiasan

KUALA LUMPUR -Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberi peringatan kepada orang ramai untuk sentiasa menjauhi dan berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu yang berleluasa di media sosial.

Pengguna adalah dinasihatkan untuk tidak mengambil mudah terhadap kewujudan akaun-akaun palsu ini dan perlu mengambil tindakan segera jika mereka menemui akaun-akaun sedemikian.

“Mereka boleh menangani kewujudan akaun-akaun yang diragui ketulenannya dengan melaporkannya melalui ruangan Laporan Akaun Palsu (Report Fake Account) yang disediakan oleh pihak penyedia platform media sosial bagi penelitian dan tindakan lanjut berdasarkan pelanggaran Piawaian Komuniti yang ditetapkan,” kata MCMC dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan sedemikian adalah perlu bagi mengelakkan berlakunya penyebaran kandungan tidak baik seperti berita yang mengelirukan, ucapan kebencian dan kandungan berbentuk provokasi yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

Tatkala pihak penyedia platform media sosial sedang giat mengimbas dan mengesahkan ketulenan akaun-akaun pengguna, masih wujud ketirisan dari mereka. Pun begitu, pengguna patut sentiasa berwaspada dengan kewujudan akaun-akaun palsu.

Ini kerana kadang kala akaun-akaun tidak menunjukkan tanda palsu atau berniat jahat pada mulanya maka penyedia platform memberi mereka keraguan yang munasabah sehingga mereka menunjukkan tanda aktiviti yang tidak baik.

Penyedia platform akan menemui akaun-akaun ini apabila sistem pengesanan mereka mengenal pasti tingkah laku yang tidak baik atau jika ada pengguna yang melaporkannya kepada mereka.

Mencegah akaun palsu adalah salah satu cara untuk menghentikan penyalahgunaan dan perlindungan lain juga harus diberikan sebaik sahaja kandungan dihasilkan dan interaksi berlaku dengan akaun-akaun palsu ini.

“Pihak MCMC sekali lagi ingin menasihatkan pengguna supaya
berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna
bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan Internet berhemah. Elakkan daripada menjadi mangsa kepada akaun-akaun palsu dan menyalahgunakan rangkaian media sosial.,” kata kenyataan yang sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast