Tan Sri Ibrahim Abu Shah.

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Shah Abu Shah dilantik sebagai Penasihat Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) berkuatkuasa 1 Disember lalu.

Beliau yang akan menamatkan tempoh ADN pada 10 Disember ini dilantik dalam mesyuarat agung (AGM) pertubuhan itu, yang turut menyaksikan Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff sebagai Timbalan Pengerusi yang baharu.

Menurut Presiden PINTAR, Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor, pelantikan itu bagi sesi 2020 hingga 2021 dalam AGM yang diadakan secara dalam talian dan dihadiri semua ahli.

Kata beliau, AGM diadakan dalam talian berikutan negara berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

“Sehubungan itu, jawatankuasa telah memutuskan agar mesyuarat agung diadakan secara dalam talian.

“AGM kali pertama ini mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli, di mana mesyuarat ini antara lainnya telah memilih barisan kepimpinan, selain membincangkan aktiviti yang akan dilangsungkan sepanjang tahun 2021,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Menurut Prof. Dr. Mohd Roslan, barisan kepimpinan PINTAR yang telah dipilih secara rasmi dalam AGM itu selain beliau selaku presiden ialah Dr. Kamarul Zaman dari UUM.

Jelasnya, jawatan Setiausaha dipegang oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob dari UPM; Penolong Setiausaha Prof. Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah dari UNISZA; Bendahari, Prof. Madya Dr. Mushaddad Hasbullah dari USIM; dan Penolong Bendahari, Dr. Raja Hisyamudin Raja Sulong dari UM.

Ahli Jawatankuasa pula ialah Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain dari UMP, Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir dari UTM, Datuk Prof. Dr. Mohd Yakub@Zulkifli Mohd Yusoff dari UM, Dr. Ahmad El-Muhammady Muhammad Uthman El-Muhammady dari UIA, Dr. Hoo Ke Ping dari KSI, Dr. Suzilawati Muhamud dari HAJIRUSHI dan Dr. Raja Jamilah Raja Yusof dari UM.

Untuk makluman katanya, PINTAR telah berjaya mengadakan Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Kerajaan PN pada 1 September lalu dan mendapat sambutan menggalakkan daripada intelektual seluruh negara, selain dihadiri pemimpin dan pegawai kerajaan.

“Banyak input berguna diperolehi dari konvensyen yang dirasmikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin ini.

“Untuk bergerak ke hadapan, PINTAR merancang mengadakan pelbagai aktiviti menarik, termasuk Konvensyen Setahun Pentadbiran Kerajaan PN pada 1 Mac 2021 nanti.

“Konvensyen ini dirancang diadakan lebih besar dari konvensyen lalu dan diadakan selama dua hari bagi memberi ruang kepada pembentangan dan perbincangan yang boleh menghasilkan input lebih menyeluruh kepada kerajaan,” katanya.

Beliau mengulangi seruan yang pernah PINTAR menerusi 115 ilmuan berkelulusan PhD buat pada 19 Jun lalu supaya rakyat memberi penghormatan dan sokongan penuh kepada kerajaan diketuai Muhyiddin untuk mengemudi negara sehingga dikembalikan mandat untuk PRU 15 mengikut peruntukan ditetapkan Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette