Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Krisis Menteri Besar Perak perlu ditangani segera dengan semangat keluarga Perikatan Nasional (PN) untuk mengelak keadaan lebih parah hingga  mencetuskan perpecahan lebih besar.

Setiausaha Agung Barisan Nasional Tan Sri Annuar Musa berkata, kemelut yang melanda Kerajaan Negeri Perak bukanlah isu nasional.

“Tindakan majoriti ADUN UMNO yang menolak usul percaya terhadap Timbalan Presiden PPBM itu juga tidak dibincangkan secara formal oleh parti dan gabungan BN, sama ada di dalam Biro Politik UMNO, Mesyuarat Majlis Tertinggi BN dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Sebaliknya, ia diputuskan sendiri wakil-wakil rakyat atau ADUN di Perak.

“Saya berharap ia dapat ditangani dengan baik supaya keadaan tidak menimbulkan ketidakstabilan, perpecahan dan harap ia dapat diuruskan secara keluarga dan dalam semangat PN,” katanya.

Beliau mengulas mengulas isu itu pada sidang media selepas menghadiri Program MyFood@mendekati masyarakat miskin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai pagi hari ini.

Susulan kejadian semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah berada di Perak untuk berjumpa dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak bagi mendapatkan penjelasan.

Oleh itu, katanya, tidak banyak perkara yang dapat diulas memandangkan proses perbincangan sedang diteruskan oleh presiden parti.

Bagaimanapun, beliau berharap apa yang sedang berlaku itu dapat ditangani dengan baik supaya ketidakstabilan dan perpecahan tidak berlaku.

Justeru itu, katanya, spekulasi yang tular dalam media sosial mengenai krisis Menteri Besar Perak perlu diuruskan secara berhati-hati dan mendalam.

Ini kerana, apabila berlaku sesuatu isu politik, keresahan dan spekulasi mula memainkan peranan maka kepimpinan perlu menguruskan dengan baik atas semangat Muafakat Nasional serta gabungan PN.

“Saya bereaksi normal, ia bukan saja Pas, PPBM juga difahamkan akan memberi reaksi yang sama sekiranya berlaku keterlibatan DAP dan PKR misalnya.

“Jadi tidak mengapa. Saya fikir setiap parti memberi reaksi awal masing-masing dan ia baru berlaku semalam dan kenyataan itu juga dikeluarkan semalam.

“Dan selepas itu, pemimpin parti perlu duduk bersama bagi menguruskan keadaan seperti saya pernah tegaskan sebelum ini, itu bukan masalah nasional, tetapi ia merupakan masalah di Perak.

“Ada perkara yang kita boleh dengar di luar, ada juga perkara-perkara yang tidak dibincangkan di khalayak. Oleh kerana ia berlaku semalam, saya percaya semua pucuk pimpinan PN akan duduk dan bincang perkara itu baik-baik,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. balasan daripada perbuatan tak berfikir panjang, kena terima akibat. balasannya beri PPBM bertanding 73 kerusi parlimen dan PAS 73.peringkat DUN, bg negeri2 yang dinaikkan hasil dari muafakat brsama pun perlu sama rata. ni harga patut dibayar. nak tak nak BN kena terima kalau betul memperjuang melayu Islam. sekarang rakyat nampak umno hanya memperjuangkan JAWATAN. dan rakyat nampak slogan parti umno “jawatan dihati Islam tolak tepi”

Comments are closed.