Abdul Aziz Jusoh

KUALA LUMPUR – Kerajaan menetapkan pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan dari rumah sembelihan atau loji pemprosesan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sahaja.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, daging dan produk daging yang diimport masuk perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf jabatan itu.

Pengimport juga katanya, perlu mengemukakan sijil kesihatan daripada pihak berkuasa veterinar negara pengeksport.

“Selain itu, mereka perlu menunjukkan permit import yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), sebelum daging dan produk daging tersebut dibenarkan masuk kepasaran negara ini.

“JAKIM komited memberi kerjasama kepada semua agensi penguatkuasa dan menyeru orang awam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan isu penyalahgunaan logo halal,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Baru-baru ini, MAQIS mendedahkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari negara luar sebelum membungkus semula dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

Perbuatan itu terbongkar dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa berkenaan di sebuah gudang di Senai, Johor.

Hasil risikan MAQIS, kartel terbabit dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku dan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label serta cap palsu yang kemudian akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula itu.

Dalam pada itu, Abdul Aziz mengucapkan penghargaan kepada agensi yang melakukan operasi bersepadu perihal dagangan halal dipercayai digunakan sindiket penyeludupan masuk daging sejuk beku.

Agensi itu ialah MAQIS, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya dan Johor, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.