Najib Razak

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan tidak mampu merubah apa-apa apabila mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan  tindakan Fitch Ratings menurunkan penarafan Malaysia adalah sesuatu yang tidak adil atau mengecewakan.

Sebaliknya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menasihatkan kerajaan untuk  mengadakan perbincangan dengan dua lagi agensi penarafan antarabangsa utama lain iaitu Moody’s dan Standard & Poor’s sebelum kedua-duanya mengeluarkan penarafan terbaharu terhadap Malaysia.

Katanya, kerajaan perlu menjelaskan perancangan dan situasi sebenar Malaysia kepada mereka.

Malah, beliau turut menasihatkan kerajaan supaya segera mengadakan rundingan dan memujuk Fitch untuk menaikkan semula penarafan Malaysia.

Semalam, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dalam satu kenyataan berkata, semakan semula penarafan tersebut didorong oleh kesan negatif daripada pandemik Covid-19 terhadap kedudukan kewangan negara dan situasi politik semasa.

“Jadi, kerajaan Perikatan Nasional patut menjelaskan bahawa walaupun jumlah kes baru hari masih cecah lebih 1,000 kes (dan kita dijangka melebihi jumlah kes di China dalam masa 2 atau 3 minggu lagi) tapi trend ini agak stabil dan jumlah kes aktif Covid Malaysia sebenarnya sudah menunjuk sedikit trend menurun sejak dua minggu lepas.

“Kita juga patut menjelaskan kepada mereka bahawa kita sedang berusaha dan berunding dengan banyak lagi syarikat vaksin agar 100 peratus rakyat Malaysia akan menerima vaksin pada tahun depan dan bukan hanya 30 peratus sahaja.

“Ianya bukan mustahil untuk dilakukan sebab saya percaya kapasiti pengeluaran vaksin dan jumlah syarikat yang ada vaksin akan melonjak naik pada suku pertama tahun depan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tambahnya, Perdana Menteri serta media-media kerajaan juga perlu berhenti mengeluarkan kenyataan-kenyataan seperti itu kerana boleh menghapus keyakinan pelabur.

Dari segi politik pula, Ahli Parlimen Pekan itu meminta supaya satu tarikh atau tempoh tetap untuk diadakan pilihan raya, diumumkan.

Ujar beliau lagi, selain mahu mengembalikan semula mandat rakyat, sebuah kerajaan lebih stabil dapat dibentuk melalui sistem demokrasi.

“Dari segi politik pula, saya perhatikan bahawa media-media asing mempunyai persepsi bahawa kerajaan PN hari ini adalah sebuah kerajaan pintu belakang yang tidak stabil.

“Ini mungkin disebabkan oleh propaganda Pakatan Harapan yang agak berjaya dan juga budaya orang barat yang lebih mengutamakan demokrasi.

“Kebimbangan dan kritikan pelabur asing mampu diredakan apabila satu tarikh atau tempoh yang tetap diumumkan,” katanya.

Fitch mengumumkan semakan semula penarafan negara Malaysia daripada A- kepada BBB+, namun dengan peningkatan tinjauan yang lebih baik daripada negatif kepada stabil. -MalaysiaGazette