Mohamad Hassan
Mohamad Hassan

KUALA LUMPUR – Malaysia mesti segera mempunyai kerajaan yang stabil, Kabinet yang progresif dan dasar ekonomi yang revolusionari.

Malah pandemik Covid-19 tidak lagi boleh dijadikan alasan untuk ekonomi terus pegun dan terencat, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Sehingga sekarang, kita tidak melihat sesuatu yang meyakinkan menjelang terbitnya fajar 2021. Semoga semua ini akan segera berubah kerana Malaysia sebelum ini adalah jauh lebih dinamik. Kita mesti segera menjadi yang terbaik semula di Asia Tenggara tanpa berlengah,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Menurut Mohamad, sesuatu mesti dilakukan segera dan kelesuan iklim pelaburan kita tidak boleh berterusan begini.

“Malaysia bermula dengan ekonomi perindustrian berorentasi eksport. Sekarang sektor perindustrian kita sangat jauh terkebelakang. Malaysia pada hemat saya is experiencing premature deindustrialization,” katanya lagi.

Menurutnya, sektor pertumbuhan baru seperti ekonomi digital, perbankan dan kewangan pula, terus malar tanpa impetus pertumbuhan radikal.

“Kita telah membuang begitu banyak masa dan peluang dalam tahun 2020. Kita mesti meraikan kedatangan tahun 2021 dengan a bold, robust and inclusive economic agenda.

“Agenda reset ekonomi mesti segera beralih kepada pertumbuhan yang berganda, pelaburan bermutu dalam sektor teknologi dan inovatif serta membuka pasaran dengan lebih agresif,” ujarnya.

Terdahulu, Mohamad berkata, ekonomi digital Indonesia telah berkembang lima kali ganda semenjak tahun 2015. Ia kini dianggarkan bernilai USD44 billion USD pada 2020 dan akan mencapai USD125 billion USD pada tahun 2025.

Menjelang tahun 2025, Indonesia akan menjadi ekonomi kelima terbesar dunia.

“Malaysia, pada tahun 2020, menyaksikan pelbagai drama politik yang terus menyuramkan lagi iklim pelaburan. Pandemic korona terus meletakkan ekonomi Malaysia pada kemelesetan terparah dalam sejarah.

“Tiga minggu dari sekarang, akan menyinsinglah fajar 2021. Kita akan mengakhiri tahun 2020 dengan tiada pencapaian penting, apatah lagi lonjakan baru untuk kemajuan dan kebolehsaingan.

“Negara jiran seperti Indonesia, Vietnam, Thailand dan Cambodia terus menunjukkan pencapaian ekonomi yang berdaya saing, menarik pelaburan teknologi dan menjadi negara perindustrian yang penting. Singapura pula memecut laju meninggalkan Malaysia jauh kebelakang,” katanya.- MalaysiaGazette