Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Tiga lagi kluster baharu Covid-19 dikesan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini.

Ia menjadikan jumlah penemuan kluster setakat ini adalah sebanyak 388 dengan yang telah ditamatkan sebanyak 201, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketiga-tiga kluster tersebut adalah Kluster Ceram di Seremban, Kluster Pulau Berhala di Sandakan dan Kluster Jalan Tampoi di Johor Bahru.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 49 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Ceram (155 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (141 kes), Kluster Cergas (92 kes) dan Kluster Tembok (92 kes),” katanya melaporkan perkembangan terkini Covid-19 hari ini.

Noor Hisham berkata, tiga kluster yang tamat hari ini pula iaitu Kluster Palma, Kluster Merpati dan Kluster Makekar.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar terus patuh saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM. – MalaysiaGazette