Dengan lulusnya Belanjawan 2021 semalam, pembangkang perlu memainkan peranan yang konstruktif dan membantu kerajaan dalam usaha memerangi Covid-19 dan menjaga kebajikan rakyat.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tiga kementerian, dua daripadanya lulus dengan suara ramai dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 hari ini.

Kementerian Pengangkutan yang agak kontroversi dengan perbahasan dari blok pembangkang terpaksa melalui undian belah bahagi selepas 15 ahli Parlimen bangun minta undian itu dilakukan.

Bagaimanapun, anggaran perbelanjaan bagi kementerian yang diterajui Datuk Seri Wee Ka Siong berjumlah RM6.052 bilion itu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dengan undian 109 bersetuju, 94 tidak bersetuju dan 17 tidak hadir.

Dua kementerian yang lulus dengan undian suara teramai ialah Kementerian Kerja Raya dengan anggaran perbelanjaan berjumlah RM1.260 bilion dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan anggaran perbelanjaan sebanyak RM510 juta.

Dengan itu, 10 RUU Perbekalan bagi 10 kementerian telah lulus sepanjang perbahasan, penggulungan dan usul anggaran pembangunan berlangsung sejak 30 November lalu sehingga Dewan Rakyat ditangguhkan jam 4 petang ini.

Kementerian itu ialah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan, Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. – MalaysiaGazette