Dr Noor Hisham Abdullah.

KUALA LUMPUR – Dua lagi kluster baharu Covid-19 dikenal pasti menjadikan jumlah kluster bagi pandemik tersebut  meningkat kepada 390, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Dua kluster baharu itu adalah Kluster Malawati di Kuala Selangor dan Kluster Tapak Bina Awan Lembah di Lembah Pantai dan Titiwangsa.

“Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 203 kluster termasuk dua kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Kertang dan Kluster Sembulan.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 187 kluster,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembagan terkini Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, daripada jumlah tersebut, sebanyak 51 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Bakti (500 kes), Kluster Batu Tujuh (53 kes) dan Kluster Tembok (49 kes), ujarnya.

Katanya lagi, KKM akan sentiasa melaporkan perkembangan terkini dan orang ramai diingatkan agar senitiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. – MalaysiaGazette