Pemilik Restoran Samudra Anjung Patin Ville, Hishammuddin Hamzah bergambar di hadapan papan tanda kedai yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 07 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Restoran Anjung Patin Ville yang terletak di Kampung Baru di sini memang dikenali dengan sajian masakan ikan sungai tradisi Pahang.

Walaupun pemiliknya asalnya sudah meninggal dunia namun legasi restoran makanan ikan eksotik itu tetap diteruskan meskipun ketiadaan pemiliknya, Allahyarham Kamarul Ariffin Hamzah.

Operasi restoran itu kini diambil alih oleh adik allahyarham, Hishammuddin Hamzah atau lebih dikenali sebagai Hisham dengan dibantu oleh kakaknya, Hamizatun yang juga tukang masak di restoran itu.

Menurut Hishammuddin, beliau membuat keputusan untuk meneruskan legasi masakan daripada abangnya itu kerana tidak mahu menghampakan para peminat masakan ikan sungai terutama pelanggan setia restorannya.

Dengan mengekalkan ciri sedia ada, Hishammuddin memberitahu, masakan di restoran yang dikendalikannya itu tetap seperti dahulu.

Ikan Patin Buah Masak Asam Tempoyak antara menu makanan yang boleh didapati di Samudra Anjung Patin Ville, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFIQ HAMBALI, 07 DISEMBER 2020.

“Konsepnya sama untuk semua peringkat bukan sahaja daripada orang kenamaan bahkan turut boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja kerana harga jualan makanan tidak berubah,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini baru-baru ini.

Menurut Hishamuddin, pelanggan sedia ada atau yang baharu boleh membuat tempahan untuk penghantaran kerana khidmat itu turut disediakan lebih-lebih lagi ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika ini.

“Saya dan kakak akan meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh abang saya kerana itulah yang sememangnya dimahukan ketika hayat allahyarham.

Antara menu utama masakan melayu tradisional yang boleh didapati di Samudra Anjung Patin Ville, Kampung Baru, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 07 DISEMBER 2020.

“Kami tetap mengekalkan jenis-jenis masakan yang ada dan Insya Allah akan menambah lagi jenis masakan lain dengan mengekalkan ciri-ciri makanan Melayu asli negeri Pahang yang boleh diterima oleh semua pelanggan,” katanya lagi.

Ikan Kerai Goreng antara menu makanan yang boleh didapati di Samudra Anjung Patin Ville, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFIQ HAMBALI, 07 DISEMBER 2020.

Menurut Hihsamuddin, para pelanggan boleh membuat tempahan sama ada menggunakan khidmat penghantar makanan ataupun sendiri bergantung kepada kuantiti tempahan yang dibuat.

Ikan Patin Masak Pais antara menu makanan yang boleh didapati di Samudra Anjung Patin Ville, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFIQ HAMBALI, 07 DISEMBER 2020.

Sebelum itu, Allahyarham Kamarul Ariffin, 44, menghembuskan nafas yang terakhir pada 18 Oktober lepas ekoran mengalami masalah kesihatan terutama buah pinggang sejak beberapa tahun lalu.

Perkhabaran mengenai pemergian Allahyarham turut mendapat perhatian bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak yang merupakan penggemar masakan ikan sungai di restorannya.

Allahyarham Kamarul Ariffin Hamzah.

Beliau turut berkongsi kesedihan yang dialami oleh keluarga allahyarham di laman sosialnya dengan mendapat ribuan ucapan takziah daripada kenalan beliau mahupun Allahyarham Kamarul Hisham.

Bagi mereka yang pertama kali mahu mencuba kelainan selera dengan menikmati keenakan masakan ikan sungai boleh mengunjungi restoran tersebut di No. 51, Lorong Khatib Koyan, Jalan Raja Abdullah di Kampung Baru.

Tempahan untuk masakan juga boleh dibuat dengan menghubungi Hishamuddin di talian 019-6076737.

Pelanggan juga boleh membuat tempahan dengan menggunakan khidmat penghantar makanan ataupun pihak restoran namun ia bergantung kepada kuantiti tempahan yang dibuat. – MalaysiaGazette