Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Projek Rel dan keretapi mendapat peruntukan paling tinggi iaitu RM3.210 bilion dari keseluruhan belanjawan bawah Kementerian Pengangkutan.

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, peruntukan bagi pelaksanaan projek rel dan keretapi yang melibatkan kerja membaikpulih dan mengukuhkan landasan keretapi Pantai Timur.

Kata beliau, jumlah itu juga untuk meningkatkan keupayaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), selain projek pembaikan keretapi Negeri Sabah dan pembelian stok kenderaan KTMB.

“Untuk Bajet 2021, kementerian saya diperuntukan bajet RM6.052 bilion meliputi perbelanjaan mengurus RM1.877 bilion (31.0 peratus) dan perbelanjaan pembangunan RM4.175 bilion (69.0 peratus).

“Melalui peruntukan ini, pembangunan infrastruktur pengangkutan dapat diteruskan khusus bagi menyediakan sistem pengangkutan awam yang cekap dan berkesan.

“Rakyat akan dapat menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang selesa dan boleh dipercayai untuk semua sektor pengangkutan darat, udara dan maritim,” katanya dalam perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Parlimen hari ini.

Menurut Ka Siong, bagi pengangkutan awam bandar pula, diperuntukan kira-kira RM521 juta untuk kerja pembinaan infrastruktur seperti RTS Link (RM500 juta) dan penyediaan Parkand Ride (RM21 juta).

Ini katanya, akan memberi keselesaan kepada pengguna pengangkutan awam.

“Bagi projek pengangkutan udara pula, sebanyak RM195 juta diperuntukan untuk kerja pembinaan dan menaiktaraf infrastruktur lapangan terbang serta pembangunan dan menaiktaraf sistem kawalan, pengurusan trafik udara, komunikasi dan radar.

“Projek pengangkutan laut turut diperuntukan RM148.5 juta untuk kerja pengerukan laluan pelayaran, pembaikan dan pembinaan jeti Jabatan Laut Malaysia, pembaikan dan pembinaan kompleks pejabat serta sistem peralatan jabatan itu.

“Untuk bangunan atau pentadbiran, kementerian peruntukan RM55.8 juta bagi menampung bayaran bangunan kementerian dan agensi bawahnya,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan juga disediakan untuk projek pengangkutan jalan sebanyak RM25 juta bagi menaik taraf atau membina pejabat, peralatan serta sistem pengkomputeran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berkata, bagi penyelidikan dan pembangunan kejuruteraan, kementeriannya menyediakan RM18 juta untuk projek cadangan penggunaan High Speed Weigh In Motion (HSWIM) bagi pengumpulan data kenderaan dan penguatkuasaan ke atas kesalahan lebih muatan kenderaan berat secara automatik dan berterusan di pelbagai negeri.

Katanya, Kementerian Pengangkutan akan mengenalpasti kaedah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek sambungan dan memastikan projek baharu dapat dilaksanakan pada tahun hadapan.

“Kita komited untuk memastikan projek pembangunan dapat dilaksanakan dalam tempoh masa ditetapkan khusus supaya faedahnya dapat dinikmati oleh semua golongan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette