Dr. Abd. Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan melaksanakan sebanyak 15 projek untuk Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Sarawak sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dari 2016 hingga 2020.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, dari jumlah itu, lima telah siap, lima dalam pembinaan, satu dalam peringkat reka bentuk dan empat lagi dalam lantikan perunding.

“Sepanjang tempoh RMK-11, untuk negeri Sarawak dari tahun 2016 hingga 2020, ada 15 projek untuk BALB.

“Daripada 15 projek itu, enam berada dalam kawasan Parlimen Hulu Rajang, tiga projek pada 2016, satu dah siap dan dua dlm pembinaan.

“Bagi tahun 2017 pula satu projek sedang dalam pembinaan, manakala tahun 2018 tiada dan tahun 2019 dua projek dengan satu darinya dalam pembinaan,” katanya pada sidang Parlimen, hari ini.

Sementara jalan luar bandar di Parlimen Hulu Rajang pula, kata Abdul Latiff, sejak tahun 2017, kerajaan pusat telah menaik taraf jalan ke lot pertanian penempatan semula Bakun, Sungai Asap dengan rekabentuk projek berjumlah RM9 juta.

Katanya, rumah Jalan Juntang ke Jalan Melukung sepanjang 60 kilometer dalam pelantikan perunding, manakala jalan balak penempatan semula ke Gulang Fasa 5 di Kapit dalam reka bentuk berjumlah RM61 juta.

Menurut beliau, dua lagi jalan bala semula ke Mekalong Fasa 6 berjumlah RM112 juta yang kini dalam peringkat perundingan dan jalan akses SK Lubok Bayan ke Klinik Nangga Sekarok berjumlah RM48 juta dan masih dalam rekabentuk.

Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong yang meminta jaminan kerajaan Pusat mengenai pembangunan di Sarawak, beliau berkata, pihaknya tidak dapat memberi jaminan.

Ini kerana situasi politik yang tidak menentu menyukarkan untuk sesebuah kerajaan membuat penetapan bagi pembangunan.

“Saya tak dapat bagi jaminan, dari kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan sekarang kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan lepas ini mungkin diadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Tetapi apa yang telah dan sedang dibuat kerajaan pusat PN dengan kerajaan Sarawak, kita ada jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan oleh menteri pusat dan juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

“Jawatankuasa ini bergerak untuk memastikan kita ada jawatankuasa kerja dan jawatankuasa teknikal, di mana semua menteri di peringkat Sarawak turut hadir dalam mesyuarat itu dan turut dihadiri semua ketua jabatan di peringkat pusat,” katanya.

Beliau bagaimanapun, yakin dengan adanya kerjasama itu, kerajaan pusat dan kerajaan negeri akan memastikan perkara yang tidak dapat diselesaikan sebagai contoh, Jalan Bukit Mabong ini dimasukkan dalam RMK-12,” katanya. – MalaysiaGazette