Ayob Khan Maidin Pitchay menunjukkan rampasan dadah yang cuba di seludup melalui perairan negar ake Indonesia. Foto: IPK Johor

KUALA LUMPUR – Polis Johor menumpaskan sindiket menyeludup dadah syabu ke Indonesia dengan menggunakan bot selepas melakukan empat serbuan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Menerusi serbuan berasingan itu, tiga suspek termasuk seorang warga Indonesia berusia antara 33 hingga 46 tahun berjaya ditangkap bersama dadah.

Ketua Polis Johor Komisioner Datuk Ayob Khan Maidin Pitchay berkata, mereka telah ditahan di Pantai Batu Layar, Pengerang, Johor ketika sedang menunggu bot untuk membawa bekalan tong yang mengandungi dadah ke negara jiran Indonesia.

Operasi yang dijalankan kelmarin dan semalam itu berkolaborasi bersama pasukan polis marin Wilayah 2, Johor dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor.

Dadah tersebut dijadualkan dihantar menggunakan bot ke Indonesia pada awal Mac lalu tetapi terpaksa ditangguhkan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rancangan untuk meneruskan penyelupan itu disambung pada Ahad lalu, katanya.

Menurut beliau, modus operandi sindiket berkenaan dengan menyembunyikan dadah dalam tong untuk mengkaburi mata pihak berkuasa.

Tambahnya, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas syabu seberat 31.2 kilogram bernilai RM1.446 juta dan menyita sebuah kenderaan Honda Civic bernilai RM40,000.

“Salah seorang daripada dua suspek yang positif dadah turut memiliki dua rekod jenayah lampau dalam kes penipuan dan mencuri dalam bangunan,” katanya dalam sidang media khas kejayaan itu menerusi Facebook rasmi IPK Johor tengahari tadi.

Kesemua suspek direman tujuh hari bermula semalam hingga 13 Disember ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B dan 51(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ayob berkata, saki baki termasuk dalang sindiket dadah berkenaan sedang diburu polis dan beliau tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket dadah di Indonesia memandangkan penyeludupan dadah berkenaan untuk pasaran Indonesia.

Sejak 1 Januari lau hingga 6 Disember 2020, Jabatan Siasatan Jenayah Johor membuat tangkapan 18,133 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 2.68 tan dadah bernilai RM31.07 juta dan sitaan berjumlah RM13.56 juta. -MalaysiaGazette