: Penyerahan replika Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2019 dalam bentuk akaun SSPN-i berjumlah RM296,000.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menggalakkan agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan menjadikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sebagai pilihan utama bagi pemberian hadiah atau insentif dalam program yang dianjurkan.

Ini kerana menurut PTPTN, SSPN merupakan produk simpanan pendidikan yang mempunyai pelbagai keistimewaan dan manfaat yang besar kepada para pendeposit.

Antara keistimewaan yang bakal diterima oleh pendeposit adalah geran sepadan secara percuma sehingga RM10,000, sekiranya anak-anak mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi, perlindungan takaful, dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun dan banyak lagi.

PTPTN dalam kenyataannya berkata, sokongan daripada semua pihak kepada SSPN dapat membantu memperkasa amalan penabungan untuk pendidikan tinggi dalam kalangan masyarakat Malaysia dan tidak hanya bergantung kepada pinjaman pendidikan semata-mata.

Katanya, langkah Yayasan Islam Kelantan (YIK) memberikan hadiah wang tunai RM500 seorang dikreditkan terus ke akaun SSPN-i kepada 592 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia, wajar dijadikan contoh kepada agensi kerajaan dan swasta yang lain.

“Kerajaan Negeri Kelantan melalui YIK telah memberi hadiah kepada 592 orang pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan tahun 2019. Setiap pelajar akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM500 seorang yang dikreditkan terus ke akaun SSPN-i.

“Jumlah keseluruhan sumbangan hadiah adalah sebanyak RM296,000.00.

“PTPTN mengucapkan tahniah kepada semua penerima atas kejayaan cemerlang dalam pelajaran dan diharapkan hadiah berupa akaun SSPN-i ini memberikan manfaat kepada para pelajar untuk masa depan pendidikan mereka di samping menikmati keistimewaan SSPN-i,” kata PTPTN lagi.

replika zakat perniagaan oleh My-Sutera Sdn Bhd kepada PTPTN sebanyak RM30,000.

Dalam pada itu PTPTN turut merakamkan penghargaan kepada My-Sutera Sdn Bhd, pengeluar kelengkapan sekolah jenama Canggih, kerana memilih SSPN-i sebagai sumbangan zakat perniagaannya bagi membantu golongan asnaf.

“PTPTN turut menerima sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM30,000 daripada My-Sutera Sdn Bhd iaitu inisiatif menerusi kerjasama strategik yang terjalin antara kedua-dua pihak. Sumbangan zakat perniagaan ini akan diberikan dalam bentuk akaun SSPN-i kepada golongan asnaf,” kata PTPTN.

Menurut PTPTN, melalui kolaborasi yang dimeterai, kedua-dua pihak juga akan mewujud dan meningkatkan hubungan dalam aspek pembangunan modal insan, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan pembudayaan simpanan pendidikan. – MalaysiaGazette