Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengkaji dengan teliti bagi mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) berhubung kebenaran penerokaan dan pengeluaran serta pembangunan elemen nadir bumi (REE) bukan radioaktif dalam memastikan perlombongan dijalankan secara mampan.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, SOP tersebut merangkumi keseluruhan aktiviti dalam rantaian nilai mineral dari perlombongan sehingga kepada pengurusan sisa dan penutupan lombong secara progesif dan proses pengilangan.

Katanya, pematuhan SOP tersebut berpandukan kepada Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Penyiasatan Kaji Bumi 1974, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Penyelarasan Perindustrian 1974 dan Enakmen Mineral Negeri-Negeri.

“Pematuhan sepenuhnya SOP merupakan syarat utama sebelum memulakan perlombongan REE yang dikawal melalui Skim Pengendalian Melombong oleh GMG namun begitu, itu tidak bermakna kerajaan sudah bersedia membenarkan perlombongan REE pada masa ini.

“Sebagai contoh, kerajaan tidak akan benarkan sebarang aktiviti REE khususnya di hutan simpan kekal tanpa sebarang penilaian.

“Ini bagi mengelakkan insiden pencemaran yang boleh jejaskan alam sekitar, sumber air dan kesihatan masyarakat dan juga adalah kepentingan kepada negara dan rakyat.

“Mana-mana pihak lakukan perlombongan tanpa kelulusan, tidak teragak-agak ambil tindakan melalui akta dan perundangan,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen (PH-Kuantan), Fuziah Salleh berhubung perincian kebenaran penerokaan REE di Kedah dan di tempat lain serta syarat-syarat yang diperlukan.

Dalam pada itu, Shamsul Anuar memberitahu, Majlis Mineral Negara yang telah diaktifkan semula akan meneliti secara terperinci SOP REE dan akan dibincangkan bersama kerajaan negeri, kementerian dan agensi berkaitan di samping akan melibatkan pandangan daripada orang ramai.

“Mesyuarat pertama dijangka diadakan pada penghujung Disember ini. Walaupun pengeluaran permit untuk pengeluaran mineral di bawah kerajaan negeri namun penetapan syarat-syarat akan dibantu bersama melibatkan kerjasama di antara agensi di peringkat Pusat dan negeri bagi memastikan semua syarat dipatuhi sebelum permit diberikan.

“Sumber REE di Malaysia merupakan sumber nadir bumi bukan radioaktif yang telah dilakanakan kajian oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette