Bendahari Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bercakap kepada media selepas selesai Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 08 DISEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Sebarang keputusan berkenaan kemelut politik di Perak bergantung kepada pendirian serta kepimpinan setiap parti politik.

Namun Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia tidak dibincangkan secara mendalam dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

Ditanya sama ada krisis pelantikan Menteri Besar Perak telah dibincangkan dalam mesyuarat malam ini, beliau bagaimanapun secara ringkas menjawab ‘tidak’.

“Apa yang patut berlaku telah berlaku. Kamu perlu tunggu dan lihat apa pendirian dari kepimpinan setiap parti.

“Ia tidak dibincangkan secara lebih mendalam hari ini,” katanya ketika diasak pemberita di pekarangan Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia malam ini.

Terdahulu Hishammuddin hadir ke mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 8.30 malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan, Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa, Ketua Pemuda Barisan Nasional Datuk Asyraf Wajdi Dusuk, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden Datuk Dr. Mah Hang Soon, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Tan Sri Joseph Kurup

Namun kesemua pemimpin itu telah terus beredar meninggalkan bangunan daripada diserbu pengamal media.

Ditanya lagi mengenai pendirian BN terhadap Pas dalam soal situasi di Perak, Ahli Parlimen Sembrong itu  menjelaskan soalan itu perlu ditujukan kepada Presiden UMNO.

“Saya bukan orang yang boleh menjawab mengenainya. Lagi pun mesyuarat hari ini adalah perjumpaan bulanan yang  Membincangkan hala tuju parti, persiapan untuk pilihan raya dan kedudukan parti-parti komponen.

“Saya gembira bila kita dapat berbincang, bukan sahaja dalam masa yang telah ditetapkan tapi berbincang dalam suasana yang cukup kondusif. Ini satu petanda yang baik dari pengalaman saya,” tegasnya.

Masalah tercetus di Perak selepas usul undi percaya yang dibawa terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Faizal Azumu menyaksikan 48 wakil rakyat mengundi tidak menyokongnya sebagai apabila usul undi percaya dikemukakan terhadapnya di Dewan Undangan Negeri Perak pada Jumaat lalu.

Ia menyebabkan peletakan jawatan oleh Ahmad Faizal pada hari berikutnya dan menjadikan Perak dalam kemelut politik untuk membentuk sebuah kerajaan negeri ketika semua parti politik tidak mempunyai majoriti mudah 30 kerusi yang diperlukan di dewan undangan negeri.

Perikatan Nasional (PN) di atas kertas mempunyai lapan kerusi DUN, Bersatu (5) dan Pas (3) dengan disokong oleh dua ADUN bekas DAP,iaitu seorang dari Gerakan dan seorang lagi bebas.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 24 kerusi, iaitu DAP 16, Amanah 5, dan PKR 3.

Keadaan itu menyebabkan setiap wakil parti politik di negeri itu diminta menghadap oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Pagi tadi Ahmad Zahid telah menghadap perkenan Sultan Nazrin dan mempersembahkan nama calon UMNO untuk jawatan Menteri Besar untuk pertimbangan lanjut.

Bagaimanapun Pas membatalkan menghadap perkenan Sultan Nazrin yang dijadualkan hari ini.-MalaysiaGazette