KUALA LUMPUR – Polis te;ah selesai menjalankan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan lima pegawai Jabatan Kastam DiRaja Malaysia yang ditahan reman selama empat hari sejak Isnin lalu kerana disyaki memeras ugut dan menyamun pemborong ikan di Tanjung Sepat pada 28 November lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya esok.
“Kita sudah melengkapkan siasatan terhadap kelima-lima pegawai Kastam itu.
“Pagi esok (Khamis) kertas siasatan lengkap itu akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwaraya (DPP) untuk tindakan lanjut (pendakwaan).Kita akan tengok nanti arahan DPP,” katanya kepada MalaysiaGazette malam ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada tempoh reman empat hari yang akan tamat esok terhadap kesemua suspek akan disambung.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa Kohilan Selvaraj, 34 yang menaiki sampan bersama abang saudaranya dari Jeti Sungai Titip menghala ke Tanjung Sepat dihampiri sebuah bot Jabatan Kastam dan sebuah bot pancung warna biru yang dibawa oleh dua anggota Jabatan Kastam (suspek) bersama tiga lelaki warga Indonesia.
Salah seorang pegawai Jabatan Kastam telah berbincang dengan mangsa dan meminta wang sebanyak RM 20,000 jika tidak mahu ditahan.
Bagaimanapun mangsa tidak bersetuju sebelum anggota kastam itu mengambil beberapa kotak berisi durian dari sampan mangsa lalu mengambil duitnya sebanyak RM2,000.
Bertindak atas laporan polis mangsa, kelima-lima suspek ditahan pada Isnin lalu di bawah Seksyen 225A, 384 dan 379 Kanun Keseksaan serta 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – MalaysiaGazette
Lima Pegawai Kastam peras ugut pemborong ikan direman empat hari