Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Lima pegawai dan anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia ditahan polis pada Isnin lalu kerana disyaki memeras ugut seorang pemborong ikan sebanyak RM20,000 bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa.

Namun keengganan mangsa menunaikan permintaan anggota beruniform itu menyebabkan beberapa kotak yang mengandungi durian untuk dihantar ke sempadan perairan Indonesia diambil pegawai kastam berkenaan.

Kejadian berlaku pada jam 6 petang 28 November lalu ketika mangsa yang juga pengadu, Kohilan Selvaraj, 34, bersama abang saudaranya dalam perjalanan menaiki sampan dari Jeti Sungai Titip menghala ke perairan Tanjung Sepat, Kuala Langat untuk di bawa ke perairan sempadan Malaysia-Indonesia.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, semasa dalam perjalanan, sampan pengadu dihampiri oleh sebuah bot kastam dan sebuah bot pancung yang dikemudi oleh dua anggota kastam (suspek) bersama tiga lelaki warga Indonesia.

“Salah seorang pegawai Kastam tersebut telah berbincang dengan pengadu (mangsa) dan meminta wang sebanyak RM20,000 jika tidak mahu ditahan untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun mangsa tidak bersetuju sebelum anggota kastam itu mengambil beberapa kotak durian dari sampan mangsa dan mengambil duitnya sebanyak RM2,000,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Menurut Azizan, tiga lelaki warga Indonesia itu kemudian dipindahkan ke sampan mangsa dan anggota kastam terbabit beredar menuju ke Port Dickson bersama bot pancung milik warga Indonesia tersebut.

Tambah beliau, pengadu mendapati salah seorang lelaki Indonesia tersebut telah mengalami kecederaan di bahagian belakang badan akibat terkena tembakan oleh pihak kastam.

Jelasnya, semasa pengadu dalam perjalanan menuju ke darat, dia dan abang saudaranya serta tiga orang lelaki Indonesia itu ditahan oleh anggota ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka telah dibawa ke jeti perlabuhan pasukan Polis Marin Klang untuk tindakan lanjut, sebelum pengadu serta abang saudaranya bersama tiga warga Indonesia itu ditangkap APMM di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 dan Akta Imigresen.

“Pengadu dan abang saudaranya telah diberi jamin manakala tiga lelaki Indonesia telah direman dibawah akta Imigresen selama 14 hari,” ujar beliau.

Azizan berkata, ekoran kejadian itu dan laporan polis yang dilakukan mangsa, lima pegawai kastam terbabit ditangkap pada Isnin lalu untuk membantu siasatan dan mereka direman selama empat hari sehingga esok.

“Polis memulakan siasatan di bawah Seksyen 225A, 384 dan 379 Kanun Keseksaan serta 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya. – MalaysiaGazette