Seorang kontraktor diirngi anggota polis keluar dari Mahkamah Shah Alam selepas didakwa menerima suapan untuk tidak memotong bekalan elektrik di sebuah kediaman. foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – Seorang kontraktor yang terlibat melakukan kerja-kerja pemotongan bekalan elektrik untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengaku tidak bersalah menerima suapan berjumlah RM650 untuk dua pertuduhan yang dihadapinya hari ini.

Tertuduh, Mohammad Syauqi Mohammad Kamil didakwa menerima rasuah secara berasingan sebanyak RM400 dan RM250 pada 8 dan 9 Januari lalu daripada Aliff Mahadzir Ralman sebagai dorongan tidak memotong bekalan elektrik di rumah sewa individu berkenaan.

Mohammad Syauqi dituduh melakukan kedua-dua kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Sekiranya sabit kesalahan, tertuduh yang berusia 26 tahun itu boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah suapan mengikut mana-mana nilai tertinggi.

Hakim Rozilah Salleh kemudian menetapkan ikan jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan.

Beliau turut diarahkan untuk melaporkan diri di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor sebulan sekali.

Pengurusan kes ditetapkan pada 18 Jnauari 2021.-MalaysiaGazette