Chow Kon Yeow Penang third bridge undersea tunnel
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak bersetuju dengan tindakan Kedah meluluskan permit kepada sebuah syarikat tempatan untuk meneroka mineral elemen nadir bumi (REE) dianggarkan bernilai RM62 billion.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya memohon pertimbangan serta campur tangan kerajaan pusat dan kementerian berkaitan terutama Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Sumber Asli dan Tenaga serta Majlis Keselamatan Negara (MKN)  untuk menghentikan tindakan yang disifatkan sebagai bahaya itu serta-merta.

“Ia bagi menjamin keselamatan bekalan air negeri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rabu lepas, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, kerajaan negeri meluluskan permit kepada syarikat tempatan berpangkalan di Kuala Lumpur untuk meneroka mineral REE tidak beradioaktif yang didapati di Ulu Muda, Sik dan Baling.

Dalam pada itu, Chow berkata, operasi penerokaan seluas 163,000 hektar itu tentu akan melibatkan pembukaan tanah berskala besar seperti aktiviti penebangan pokok, perataan bukit, kerja mendirikan kuari besar dan menggali ke bumi yang menyebabkan kemusnahan besar di persekitaran hutan hujan.

Katanya, aktiviti perlombongan juga memberi kesan buruk kepada Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah strategik.

“Kira-kira 70 peratus air mentah Perlis dan 96 peratus air mentah Kedah adalah datangnya dari Ulu Muda, manakala lebih daripada 80 peratus air mentah yang diekstrak oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dari Sungai Muda, dekat muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang juga berasal dari Ulu Muda,” katanya. – Bernama