Pekerja warga asing sedang menjalani ujian saringan semasa program saringan Covid-19 bagi pekerja asing di Kumpulan Syarikat Kossan, Meru, Klang. foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2020.

KLANG – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa lebih ramai lagi majikan untuk menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas pekerja-pekerja mereka khususnya di dalam zon merah bermula 1 Disember lalu.

Menurut Ketua Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan Perkeso, Dr Azlan Darus, ia bagi memastikan jangkitan pandemik Covid-19 boleh dibendung dan tidak menular di tempat kerja.

“Inilah contoh terbaik bagaimana semua pihak bekerjasama dan membuat aktiviti sama ada kita jumpa negatif ataupun positif keputusannya tetap akan membantu kerajaan bagaimana ekonomi boleh digerakkan semula dan kawalan Covid-19 boleh dibuat.

“Kita saksikan sendiri pihak industri menyediakan ruang, masa dan menyusun atur pekerja mereka agar produktiviti tidak terganggu dengan ketara.

“Sokongan daripada pihak yang berkaitan seperti fasiliti kesihatan swasta dan komitmen yang baik daripada pihak majikan dapat memastikan jangkitan Covid-19 boleh dibendung daripada merebak di tempat kerja,” katanya pada sidang media di Wisma Kossan Rubber, Meru, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Pembangunan Perniagaan Qualitas Health, Dr Junaidi Ismail dan Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Kossan Rubber, Poh Lim.

Dr. Azlan Darus

Terdahulu Azlan membuat tinjauan ujian saringan Covid-19 melibatkan 8,000 kakitangan termasuk 4,800 pekerja asing di syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia itu di kawasan perindustrian Meru.

Ujian saringan itu menggunakan kaedah RTK Antigen yang disediakan Perkeso, dijalankan secara berperingkat-peringkat sehingga 14 hari, bermula 3 Disember hingga 16 Disember ini.

Dalam pada itu, Perkeso juga menyeru agar pihak majikan memain peranan yang lebih besar dalam memutuskan jaringan Covid-19 di tempat kerja.

“Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), beberapa faktor telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja.

“Antaranya ialah tempat penginapan pekerja asing, kebersihan kendiri dan persekitaran di tempat tinggal serta tempat kerja,” jelasnya.

Pekerja warga asing beratur menunggu giliran untuk disaring semasa program saringan Covid-19 bagi pekerja asing di Kumpulan Syarikat Kossan, Meru, Klang. foto MOHD ADZLAN, 09 DISEMBER 2020.

Sementara itu, setakat ini sebanyak 592 klinik di enam negeri yang telah berdaftar dengan Perkeso yang berupaya dan bersedia membuat ujian saringan Covid-19.

“Di Selangor sahaja, ada sebanyak 298 klinik manakala di Kuala Lumpur 129 klinik.

“Banyak klinik boleh dihubungi dan Insya-Allah Perkeso akan membantu dari segi pembekalan RTK Antigen Kit.

“Saya menyeru kepada semua majikan di luar sana ambil peluang ini, lawati laman sesawang Perkeso untuk melihat sendiri senarai klinik yang boleh dihubungi untuk buat temu janji,” katanya lagi.

Pada 27 November lalu, kerajaan telah menetapkan prosedur pelaksanaan saringan Covid-19 kepada semua pekerja asing yang bekerja di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Saringan perlu dilaksanakan secara bersasar berdasarkan lokaliti zon merah yang mempunyai kepadatan pekerja asing yang tinggi mulai 1 Disember 2020. – MalaysiaGazette