Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Teja, Kampar, Perak yang bermula 7 hingga 20 Disember ini akan ditamatkan esok.

Bagaimanapun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Sungai Seluang, Kulim, Kedah dan Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah dilanjutkan 14 hari lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan PKPB di Mukim Teja dicapai selepas tiada kes dalam komuniti dikesan menerusi saringan kontak rapat yang dilaksanakan itu.

“Kementerian Kesihatan telah melaksanakan 410 ujian saringan secara bersasar dan sebanyak 43 kes positif Covid-19 telah direkodkan di mukim ini.

“Walaubagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 41 kes positif Covid-19 berlaku dalam institusi Rumah Pengasih dan tiada kes dalam komuniti dikesan berikutan saringan kontak rapat dan sidang khas MKN hari ini bersetuju PKPB di Mukim Teja ditamatkan esok iaitu 10 hari lebih awal dari tarikh asal,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, PKPD di taman-taman perumahan di Mukim Sungai Seluang yang dilanjutkan sehingga 24 Disember ini melibatkan Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1 dan 2, Taman Halia, Taman Cekur Manis, Taman Kobis, Taman Sawi dan Taman Seri Limau.

Katanya, setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 2,282 ujian saringan secara bersasar dan sebanyak 137 kes kumulatif positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan penduduk di lokaliti-lokaliti itu.

“Sehingga kini KKM turut mengesahkan masih terdapat baki 128 sampel saringan yang masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Bagaimanapun, Menurut Ismail Sabri, Taman Sawi dikeluarkan daripada pelaksanaan PKPD disebabkan tiada kes positif yang direkodkan dari taman perumahan tersebut namun ia masih tertakluk di bawah pelaksanaan PKPB bagi daerah Kulim yang masih berkuatkuasa sehingga 20 Disember ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD di Taman Telipok Ria di Tuaran dilanjutkan untuk tempoh yang sama dengan Kulim.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD taman berkenaan mulai 27 November hingga 10 Disember lalu dan berjaya melaksanakan sebanyak 8,186 saringan dan telah
merekodkan sebanyak 493 kes kumulatif positif COVID-19 di
lokaliti ini.

“Sehingga kini KKM juga mengesahkan masih terdapat baki 1,386 sampel saringan yang masih menunggu keputusan dan mengambil kira faktor itu tempoh dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 24 Disember ini,” katanya. – MalaysiaGazette