Dr. Adham Baba

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) boleh dianggap sukses dalam pengurusan bencana dan pandemik yang sedang memasuki gelombang ketiga saat ini.

Pun begitu, premis-premis kesihatan dalam negara ini ternyata
masih kekurangan dari segi pengamalan pendigitalan di setiap
sudut kerjanya.

Sebagai contoh, sistem pendaftaran pesakit luar dan dalam di
mana-mana hospital dan klinik kesihatan masih mengekalkan cara lama, iaitu mendaftar menggunakan kad pengenalan fizikal di kaunter.

Sistem rekod perubatan untuk warganegara pun masih boleh
dianggap ketinggalan zaman di mana para pesakit yang
mempunyai rekod kesihatan di premis-premis KKM hanya
dibekalkan dengan kad atau buku rekod kesihatan tertera nama
mereka.

Bayangkan, jika bilik stor rekod terbakar atau dilanda banjir, semua buku dan kertas rekod tersebut musnah, apa akan jadi kepada catatan kesihatan rakyat negara ini?

Sudahlah masih banyak sistem canggih masih belum diwujudkan di premis-premis kesihatan milik kerajaan, lebih malang lagi integrasi pun masih tiada.

Rasanya cuma ada satu sahaja sistem digital yang ketara
digunakan iaitu sistem nombor giliran, yang lain masih peringkat
normal serba-serbi.

Sebenarnya ini satu barah untuk pengurusan dalam KKM. Makin
lama ia dibiarkan begini, sudah tentu makin mahal kos untuk
mewujudkannya pada masa akan datang.

Dalam hal ini, rasanya Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham
Baba sudah lama sedar dan cuba untuk bertindak sesuatu.

Namun, mungkin juga akibat kita diserang dengan Covid-19 tanpa henti maka fokus untuk selamatkan nyawa rakyat perlu diberi perhatian terlebih dahulu sebelum beralih kepada lain-lain transformasi dalam sektor kesihatan.

Walau dalam pengurusan digital kurang mampan, Dr Adham
berazam dan akui bahawa sistem penjagaan kesihatan bersepadu
akan menyediakan penjagaan kesihatan terbaik kepada rakyat
Malaysia dengan berkesan dan cekap.

Selaku menteri yang pakar dalam bidang perubatan dan
pengurusan, Dr Adham sedar proses digitalisasi dapat memainkan
peranan yang kuat dalam mencapai kelestarian kewangan.

Jika kita lenggah lagi, pasti kerajaan akan terpaksa berbelanja lebih besar di hari kemudian.

Sekarang pun kita sudah berbelanja berbilion-bilion ringgit hanya
untuk hak cipta, idea dan sistem sahaja. Yang sebenarnya ia
bukanlah kos ideal, kerana harga boleh diletak mengikut sesuka
hati mereka yang memonopoli bidang ini.

Sebenarnya kita sudah ada kabel fiber optik yang berkapasiti
sangat tinggi. Tetapi kita dimomokkan bahawa kabel fiber optik
yang kita ada tidak mampu berfungsi secara dua hala, jika mahu
juga ia berfungsi, kena tambah lagi kos.

Sedar tak sedar kita sudah banyak rugi hasil daripada tekanan
peniaga dan pembekal sistem IT yang sengaja menaikkan harga
mengikut selera sendiri.

Sudah tiba masanya untuk jentera kerajaan yang ada perlu
merancang lebih jauh lagi, tidak bergantung kepada pembekal IT
semata-mata.

Bukankah kita ada MIMOS dan MOSTI yang mampu memenuhi
pelbagai keperluan dan rakyat?. Ketika MIMOS ada potensi
membangunkan ‘cloud’, ada pula syarikat kerajaan yang
mengambil jalan berbeza menandatangani perjanjian kerjasama
dengan syarikat swasta.

Sedangkan kerahsiaan data mestilah dilindungi, bukan semudah itu akses data diberi kepada rakan niaga dari luar.

Pelbagai sabotaj boleh berlaku jika ada perbezaan pendapat
walaupun hanya kerana emosi dua individu di dalam sesuatu hal.

Akibatnya sangat besar, kerajaan rugi berbilion rakyat pula tidak
dapat manfaat dari teknologi tertinggi.

Kini sampailah masa untuk kita berani mengkaji balik semua
langkah-langkah dan agenda yang kita telah lakukan dan

sampailah masa kita melaksanakannya dengan lebih cekap,
berkesan dan terbaik.

IBN SAAD
Putrajaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast