SHAH ALAM – Selebriti, Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful didakwa buat kali ketiga hari in di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol seorang wanita.
Tertuduh yang berusia 25 itu mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Dia yang juga penyanyi dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah bilik beralamat No E-04-23, Hyde Tower, I-City, PSN Multimedia, Seksyen 7 di sini, kira-kira pukul 11.35 malam, pada 11 September 2019.
Terdahulu, tertuduh yang memakai kemeja-T biru tiba di mahkamah kira-kira 3 petang dan sempat mengucapkan terima kasih kepada wakil media yang menunggu sejak 9 pagi, sebelum memasuki bilik mahkamah.
Pagi tadi, Syed Shah Iqmal berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya, iaitu melakukan persetubuhan luar tabii dan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan seorang pelajar wanita.
Dia turut mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas pertuduhan berkenaan. – MalaysiaGazette