Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Sivarajan Arumugam menyerahkan memorandum kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Hidayat Mohd Saufi berkaitan isu penempatan semula pengusaha nurseri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2020.

SHAH ALAM – Dahulu agensi-agensi kerajaan negeri sendiri terlibat mengendalikan para pengusaha nurseri sepanjang Jalan Sungai Buloh – Shah Alam.

Namun selepas hampir 30 tahun kini para pengusaha terbabit mendakwa mereka kini  berdepan pula dengan tindakan pengusiran.

Mereka dianggap ‘penceroboh’ walhal mereka pernah bernaung di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dengan bayaran sewa antara RM400 kemudiannya dinaikkan sehingga mencecah RM800 oleh anak syarikat kerajaan negeri itu.

Para pengusaha nurseri itu cuba memohon lesen pendudukan sementara (TOL) untuk sekian lama melalui PKPS namun tidak berjaya.

Kemudian Yayasan Selangor juga pernah cuba mengambil alih pengurusan nurseri tapi cuba mengenakan kadar sewa tinggi sehingga akhirnya mereka membatalkan perancangan tersebut.

Kini para pengusaha nurseri berdepan pula dengan tindakan pengusiran dari lokasi tersebut tanpa sebarang penyelesaian positif memandangkan kawasan mereka akan digunakan untuk pembinaan lebuh raya DASH, pembesaran jalan serta kerja penyelengaraan paip bawah tanah.

Kecewa dengan apa yang berlaku dengan mereka akhirnya bertindak menyerahkan sebuah memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shaari di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor hari ini.

Jurucakap pengusaha nurseri berkenaan yang juga  Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), A. Sivarajan berkata, pihaknya cukup terkejut dengan tindakan pengusiran yang tidak sepatutnya berlaku.

Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, Sivarajan Arumugam bercakap pada sidang media mengenai serahan memorandum kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkaitan isu penempatan semula pengusaha nurseri di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2020.

“PSM sebenarnya sudah berjuang isu ini dari awal lagi, kesemua pengusaha ini sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri mencari penyelesaian terbaik. Sangat mengecewakan kerana mereka semua ini pernah bernaung bawah pelbagai agensi kerajaan.

“Kini mereka berdepan pula tindakan pengusiran atas alasan menceroboh apabila Pakatan Harapan menang di Selangor pada 2008, anak syarikat PKPS tidak dapat perbaharui lesen kumpulan ini cuba memohon sendiri namun tidak berjaya.

“Kemudian mereka diletakkan pula di bawah Yayasan Selangor tapi cuba kenakan sewa yang sangat tinggi pula. Kemudian tinggalkan begitu sahaja.

“Semua lepas tangan. Tidak mahu bercakap sebaliknya usir mereka seperti penceroboh. Ini persoalan kita, jika Menteri Besar yang sebelum ini pada tahun 2012 sudah syaratkan kumpulan pengusaha ini dimasukkan dalam di Lembaga Getah, siapa pula cuai?

“Janganlah usir mereka seperti ini, berilah penyelesaian positif kepada mereka yang sudah memajukan kawasan itu untuk lebih 30 tahun, jangan kerana kerajaan negeri gagal, mereka ini jadi jadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi di lobi SUK.

Dalam memorandum itu turut dikepilkan segala dokumen untuk mengenai usaha serta perjuangan berterusan oleh para pengusaha nurseri itu selama ini.

MalaysiaGazette difahamkan Menteri Besar Selangor sebelum ini, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekitar pernah bersetuju dengan cadangan agar projek pembangunan di tanah milik Lembaga Getah Malaysia dimasukkan sekali keperluan tapak nurseri (Hub Nurseri) sebagai syarat pembangunan.

Namun kumpulan itu tidak pula ditempatkan terus kepada Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) sebaliknya kini berdepan dengan langkah pengusiran.

Ada juga pengusaha  juga diarahkan untuk berpindah ke tanah kerajaan negeri di Bukit Cherakah Puncak Alam dan ke HICOM Sekyen 28, Shah Alam.

“Kenapa kami diusir ke lokasi tidak sesuai walaupun sudah ada cadangan menempatkan kami di tanah Lembaga Getah Malaysia yang juga berdepan dengan nurseri ketika ini?

“Apakah yang menghalang kerajaan negeri untuk menawarkan lokasi dalam pembangunan Lembaga Getah Malaysia? Apa pun tindakan ini sebenarnya tidak lebih daripada ‘membunuh’ rezeki sedia ada kami,”  kata Sivarajan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast