Walaupun semua daerah di Kelantan tamat PKPB, tetapi negeri itu tertakluk bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke atas empat daerah di Kelantan sejak 7 Disember lalu, ditamatkan serta merta berkuasa kuasa hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua Mukim atau Daerah Penggawa melibatkan Kubang Kerian di Kota Bharu dan Kusial di Tanah Merah masih diletakkan di bawah PKPB.

“Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPB di daerah Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas di Kelantan bermula 7 sehingga 20 Disember 2020.

“Memandangkan kes positif Covid-19 di empat daerah ini menunjukkan trend penurunan mendadak dan terkawal, sementara kes aktif yang masih ada hanya tertumpu di beberapa mukim atau Daerah Penggawa, maka kerajaan bersetuju menamatkan PKPB hari ini.

“Namun, bagi dua mukim (Daerah Penggawa) iaitu Kubang Kerian, Kota Bharu dan Kusial, Tanah Merah masih dalam PKPB sehingga 20 Disember ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokaliti Madrasah Ad-Diniah Al-Falahiah, Kampung Dalam Huma, Bukit Awang, Pasir Puteh juga turut diteruskan sehingga 20 Disember ini.

Ismail Sabri Yaakob

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai polis semalam telah menahan 260 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

Daripadajumlah itu, kata beliau, 245 individu dikenakan kompaun, manakala 15 individu lagi direman.

“Seperti biasa, kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan seperti tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal, aktiviti pusat hiburan dan lain-lain,” katanya.

Bagi Operasi Benteng, katanya, seramai 19 pendatang asing tanpa izin ditangkap atas kesalahan menceroboh negara tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Selain Pati, pasukan keselamatan turut menahan tiga tekong dan merampas tiga kenderaan darat yang digunakan untuk tujuan menyeludup masuk Pati ke negara ini menerusi lorong tikus,” katanya. – MalaysiaGazette