Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Terdapat enam kluster baharu yang melibatkan tempat kerja telah dikenal pasti pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Sungai Putus di Klang, Selangor menjadi antara penyumbang kes baharu tertinggi hari ini dengan 369 kes.

Jelasnya, kes-kes awal daripada kluster tersebut dilaporkan positif Covid-19 bermula 9 Disember lalu hasil saringan bersasar di sebuah kilang.

Setakat jam 12 tengahari tadi, sejumlah 2,001 orang telah disaring di mana 427 disahkan positif Covid-19.

Kluster Sungai Putus melibatkan sembilan rakyat Malaysia dan 418 bukan warganegara.

Kluster Erima pula melibatkan daerah Gombak di Selangor.

Kes indeks bagi kluster itu (iaitu kes ke-73290) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 7 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 11 Disember 2020, sejumlah 83 individu telah disaring, di mana 29 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kluster ketiga melibatkan daerah Lembah Pantai, Titiwangsa dan Kepong di Kuala Lumpur.

Menurut Dr. Noor Hisham, kes-kes awal bagi Kluster Tapak Bina Jalan Berangan itu dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Disember lalu hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan.

Sehingga 11 Disember 2020, seramai 1,246 individu telah disaring, yang mana enam kes telah dikesan positif Covid-19.

Satu lagi kluster baharu dikenal pasti di  Johor iaitu Kluster Langkasuka di Kulai dan Johor Bahru.

Kes indeks dilaporkan positif Covid-19 pada 5 Disember lalu hasil saringan individu bergejala.

Setakat jam 12 tengahari tadi, seramai 113 individu telah disaring yang mana 14 daripadanya sah positif Covid-19.

Kluster Jalan College pula melibatkan daerah Seremban di Negeri Sembilan dan Petaling di Selangor.

Kes indeks (iaitu kes ke-68884) telah dilaporkan positif Covid-19 pada 3 Disember 2020 melalui saringan individu bergejala.

Sehingga 11 Disember 2020, sejumlah 35 individu telah disaring, yang mana 11 kes telah dikesan positif Covid- 19 dalam kluster ini.

Kluster Sungai Keluang pula melibatkan daerah Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang.

Kes indeks kluster berkenaan disahkan positif Covid-19 pada 5 Disember lalu selepas menjalani saringan untuk pulang ke negara asal.

Hasil saringan kontak rapat di tempat kerja, Kementerian Kesihatan mendapati sebanyak 16 kes lagi dikesan positif.

Seramai 99 individu telah disaring yang mana 16 adalah positif Covid-19.

Setakat hari ini, terdapat 407 kluster telah dilaporkan termasuk enam kluster baharu.

Katanya, jumlah kluster yang telah tamat adalah sebanyak 217 termasuk tiga kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Taman Laut di Selangor, Kluster BMU di Melaka, dan Kluster Ikhtisas yang melibatkan Selangor, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 190 kluster. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 48 kluster melaporkan pertambahan kes pada hari ini. -MalaysiaGazette