Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) ditubuhkan bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik berkaitan prasarana penjara dan sistem tahanan negara.

KRPPM yang dipengerusikan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said telah mengadakan mesyuarat pertama pada 9 Disember lalu.

Keahlian kumpulan itu terdiri daripada lima Ahli Dewan Rakyat, dua Ahli Dewan Negara dan pihak berkepentingan dengan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERIA), Universiti Malaya (UM) selaku Sekretariat.

Menurut Azalina, penubuhan KRPPM itu dianggap tepat pada masanya memandangkan kadar dijangkiti wabak pandemik global Covid-19 di penjara mencatat angka tinggi iaitu melebihi 7,000 kes.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk 560 kes yang dilaporkan menjangkiti kakitangan penjara.

Selain itu, kata beliau, jumlah banduan melebihi kapasiti penjara juga amat membimbangkan dan memerlukan perhatian serta tindakan segera untuk diselesaikan.

“Usaha ini dapat kerjasama pelbagai termasuk Yang Dipertua Dewan Negara (Senator Tan Sri Dr. Rais Yatim) yang mempengerusikan perbincangan mengenai isu penambahbaikan penjara dan pusat tahanan dalam tempoh Covid-19.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dr. Rais atas kesudian dan keprihatinan beliau mendepani isu ini bagi mencari jalan penyelesaian terpantas dan terbaik,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Azalina berkata, KPPRM menyambut baik cadangan Dr. Rais untuk menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Bersama melibatkan Ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Negara secara bersama demi kesejahteraan rakyat.

Ujar beliau, penubuhan jawatankuasa itu selaras dengan Peraturan Mesyuarat 79 (Dewan Negara) dan julung kali dalam sejarah institusi Parlimen Malaysia.

“Selaku Pengerusi, saya juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman dari CERIA, UM selaku Sekretariat kepada KRPPM yang bersama menjayakan inisiatif ini,” katanya. – MalaysiaGazette