Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Pendakwaan perbicaraan kes rasuah isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak selesai hari ini.

Kes itu telah dibicarakan selama 33 hari di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan mengemukakan 23 saksi sepanjang prosiding sejak 5 Februari tahun ini.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, pasukannya telah selesai menyoal kesemua saksi pendakwaan termasuklah mengemukakan bahan bukti bagi kes tersebut.

“Kami juga menawarkan seramai 10 saksi bagi pasukan pembelaan dan juga boleh menghantar hujah bertulis dalam tempoh lima hari,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan hari ini.

Ketua Pendakwaraya, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Pendakwaan menutup kesnya hari ini sejurus selepas selesai pemeriksaan balas terhadap saksi kelima iaitu bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Mahdzir dalam keterangannya hari ini memberi penjelasan berhubung sepucuk surat berhubung projek solar yang dikirimkan kepada Datuk Seri Najib Razak yang merupakan Perdana Menteri ke-6 ketika itu.

Selain itu beliau juga disoal tentang beberapa harta miliknya selain penerimaan wang daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin ketika.

Bagaimanapun ketika diasak oleh peguambela, Datuk Jagjit Singh dengan nada tinggi selain bertanyakan tentang kenyataan media oleh Mahdzir yang membuat ‘ugutan’ saman kepada sesiapa yang memberikan testimonial mengaitkan dirinya dengan kes rasuah itu.

Dengan nada tenang, Mahdzir berkata dirinya tidak berapa ingat tentang kenyataan media yang dikeluarkan olehnya pada Mei lepas.

Jagjit: Nampaknya anda tidak ingat banyak perkara ya Datuk?

Mahdzir: Ya betul, agaknya kerana Covid-19.

Jagjit: (Nada tinggi) nampaknya anda mempunyai daya ingatan selective memory?

Mahdzir: Saya tidak berbohong dalam mahkamah dan ini bukan Parlimen. 

Saksi yang merupakan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. 

Sementara itu, selepas selesai menutup kes, Mohamed Zaini kemudian telah menetapkan menetapkan 10 Februari 2021 untuk mendengar hujah lisan pendakwaan dan pembelaan.

Rosmah, 68, berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, berhubung projek tenaga solar.

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel.

Ini untuk 369 sekolah luar bandar Sarawak, bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra dan di kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017. -MalaysiaGazette