KUALA LUMPUR- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi anak syarikatnya, Petronas Suriname E&P B.V. (PSEPBV) berjaya mencatat penemuan pertama hidrokarbon di Republik Suriname susulan usaha penggerudian telaga Sloanea-1 di Blok 52.
PSEPBV adalah pengendali Blok 52 dan memegang 50 peratus kepentingan penyertaan dengan baki kepentingan dipegang oleh ExxonMobil Exploration and Production Suriname B.V..
“Kami amat gembira dengan keputusan positif membabitkan telaga itu setakat ini. Kejayaan ini akan menjadi pendorong untuk Petronas meneruskan lagi usaha di Suriname yang merupakan antara lembangan tumpuan kami di Amerika.
“Oleh itu, kami berharap untuk meneruskan kejayaan kerjasama dengan ExxonMobil selain memperkukuh hubungan dengan kerajaan Republik Suriname sebagai rakan penyelesaian selain bergerak ke arah penawaran tenaga bersih ke pasaran,” kata Naib Presiden Eksplorasi, Huluan Petronas Emeliana Rice-Oxley dalam satu kenyataan hari ini.
Blok 52 meliputi kawasan seluas 4,749 kilometer persegi di utara dan pesisiran Paramaribo, ibu negara Suriname dan terletak di lembangan Suriname-Guyana yang sebelum ini menyaksikan penemuan beberapa medan hidrokarbon besar.
Telaga Sloanea-1 itu berjaya digerudi sehingga mencecah kedalaman 4,780 meter menggunakan pelantar Maersk Developer.
Ini turut membabitkan penemuan beberapa pakej batu pasir mengandungi hidrokarbon yang berkualiti di kawasan Campanian.
Rice-Oxley menyifatkan perolehan data-data telaga itu membuktikan kalibrasi terbaik berhubung potensi blok berkenaan dan penilaian lanjut kini dilaksanakan untuk penilaian penemuan secara menyeluruh.
Selain Blok 52, PSEPBV juga memegang 100 peratus kepentingan penyertaan dan pengendalian di Blok 48 serta 30 peratus kepentingan penyertaan bukan pengendali di Blok 53.
— BERNAMA