Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (tengah) bergambar bersama sebahagian sukarelawan pada Program Rakan Muda 'Give Back' Sempena Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Selangor di Kampung Salak Tinggi, Sepang. foto FAREEZ FADZIL, 12 DISEMBER 2020.

SEPANG – Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat menyasarkan untuk meningkatkan keupayaan sehingga 20,000 sukarelawan pada tahun hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, buat masa ini program Khidmat Bantu Di Rumah hanya melibatkan 11,559 sukarelawan.

“Sekarang kita ada hampir 3,000 yang aktif dalam program Khidmat Bantu di Rumah, dan ini penyertaan untuk menjadi sukarelawan sentiasa terbuka dari masa ke semasa.

“Kita bukan sahaja perlukan sukarelawan untuk program Khidmat Bantu Di Rumah tetapi kita ada juga program terutamanya di musim banjir yang akan bertugas di pusat-pusat pemindahan sementara.

“Kita juga ada program kemasyarakatan dan ada beberapa kategori yang kita perlukan khidmat sukarelawan. Ia bukan sahaja bergantung kepada khidmat bantu di rumah tetapi juga ada beberapa program yang boleh memainkan peranan dan juga beri khidmat kepada rakyat dalam membantu kementerian,” katanya dalam sidang media sempena program Rakan Muda ‘Give Back’ di Kampung Salak Tinggi hari ini.

Untuk itu, Rina berkata, kursus-kursus pengenalan akan dikelolakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memastikan mereka boleh berkhidmat kepada masyarakat.

“Sebagai contoh, Khidmat Bantu di Rumah bila mereka pergi ke rumah pastinya ada yang sakit kronik dan warga emas, jadi cara untuk berinteraksi dengan mereka akan dibantu. Dalam masa yang sama, kita bukan sahaja memberikan khidmat sukarelawan, tapi memberikan latihan kepada mereka.

“Mereka secara tidak langsung akan memperbaiki diri sendiri dengan ada kemahiran yang baharu,” katanya lagi.

Dalam Belanjawan 2021 lalu, bila saguhati kepada sukarelawan program Khidmat Bantu di Rumah (Home Help Services) dinaikkan daripada RM150 kepada maksimum RM400.

Kenaikan ini akan memberikan manfaat kepada lebih 2,000 sukarelawan dan lebih 8,000 warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU). – MalaysiaGazette