Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases deaths Malaysia
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Sebanyak 1,371 kes positif baharu Covid-19 direkodkan hari ini dengan Selangor kekal mencatatkan bilangan kes tertinggi.

Bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 1,204 kes menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan berjumlah  13,830 kes.

Sehingga kini terdapat 114 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 meningkat kepada 84,846 kes manakala jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah 70,597 kes atau 83.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes positif baharu, terdapat satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,370 kes.

“Perbandingan kes antara negeri menyaksikan Selangor masih kekal melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 532 kes atau 38.8 peratus yang mana 420 kes iaitu 78.9 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat kes positif Covid-19 yang giat dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh negeri Sabah sebanyak 283 kes atau 20.6 peratus dan Negeri Sembilan sebanyak 260 kes iaitu 19.0 peratus,” katanya pada sidang media di Kementerian Kesihatan hari ini.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan empat kes kematian pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian sebanyak 419 kes atau 0.49 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Jelas beliau, kes kematian ke-416 membabitkan kes ke-52589 seorang wanita tempatan berusia 40 tahun dari Wilayah Persekutuan Labuan yang mempunyai komplikasi penyakit kencing manis meninggal dunia di Hospital Labuan.

“Kes kematian ke-417 pula ada kes ke 67912 dari Perak membabitkan seorang wanita warga tempatan berusia 50 tahun berlatarbelakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia meninggal dunia dan jenazah telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh sebelum dikesan positif Cvid-19.

“Manakala kematian ke-418 adalah kes ke 80659 dari Sabah membabitkan wanita warga tempatan berusia 46 tahun berpenyakit darah tinggi, dislipidemia dan obesiti meninggal dunia di Hospital Tawau,” katanya.

Tambah beliau, kematian ke-419 melibatkan seorang lelaki warga asing dari Sabah berusia 54 tahun meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette