logo 1mdb
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih berunding dengan beberapa pihak termasuk PetroSaudi International Limited (PSI) dan PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ), bagi permohonan untuk menyekat sebarang urus niaga berhubung AS$340 juta yang didakwa berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan firma guaman UK

Peguam Alex Tan, yang mewakili PSOS-VZ memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengenai perkembangan berkenaan semasa pengurusan kes itu hari ini.

“Saya percaya pihak-pihak berkenaan masih berusaha mencari alternatif untuk menyelesaikan masalah ini dan akan memerlukan lebih banyak masa. Kami memohon tarikh sebutan semula di mahkamah ini agar kami dapat mengemas kini perkembangan jika rundingan berjaya,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed mengesahkan perkara itu.

Mohd Nazlan kemudian menyoal peguam tersebut sekiranya terdapat perkembangan dalam perbincangan tersebut.

“Terdapat perbincangan serius secara bertulis antara kami hingga minggu lepas tetapi saya masih mendapat arahan daripada anak guam.

“Kami juga mengadakan pertemuan bersemuka dengan wakil kerajaan sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat baru-baru ini pada 14 Oktober,” kata Tan.

Setelah mendengar penjelasan berkenaan, mahkamah menetapkan 4 Februari ini untuk pengurusan kes sementara menunggu perkembangan mengenai rundingan yang sedang berlangsung.

Pada 16 Julai lepas, Mohd Nazlan membenarkan permohonan kerajaan untuk mendapatkan satu perintah sementara bagi menghalang PSI, pengarahnya Tarek Obaid dan anak syarikat itu PSOS-VZ daripada memindahkan wang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disimpan dalam akaun pelanggan di sebuah firma guaman di UK kepada entiti lain.

Perintah sementara itu bagi mengekalkan status quo pihak-pihak yang terlibat sehingga pelupusan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah sekatan ke atas sebarang urus niaga membabitkan wang milik PSI dan PSOS-VZ yang kini disimpan dalam akaun eskrow dipegang oleh Clyde & Co Co LLP di UK.

Selain wang berjumlah AS$340,258,246.87, kerajaan dalam permohonannya turut memohon wang yang tidak dinyatakan jumlahnya yang disimpan dalam akaun bank perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, UK.

Permohonan itu, yang difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA), menamakan Tarek, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co serta Temple Fiduciary sebagai responden pertama hingga kelima.

Pada 19 Ogos, Mohd Nazlan membenarkan PSOS-VZ mengeluarkan AS$1.357 juta daripada AS$340,258,246.87  itu selepas membenarkan permohonan syarikat untuk meminda perintah interim yang melarangnya memindahkan wang terbabit ke entiti lain.

PSOS-VZ memohon untuk meminda terma perintah interim tersebut agar sebahagian daripada wang dilepaskan bagi pembayaran perbelanjaan perniagaan dan kos guaman.

Sejumlah AS$1.357 juta itu untuk dibayar kepada firma guaman Kerman & Co yang berpangkalan di UK selepas selesai kes timbang tara melibatkan syarikat itu. – Bernama