Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah membuat permohonan kepada Kerajaan Sarawak untuk melonggarkan syarat kuarantin 14 hari yang dilaksanakan ketika ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, ia bagi memberi peluang rakyat negeri itu pulang menyambut Hari Krimas tidak lama lagi.

Jelas beliau, pengurangan tempoh kuarantin itu juga dilihat dapat memudahkan urusan guru dari Semenanjung untuk ke negeri itu.

“Ramai yang mengadu kepada kerajaan dan berharap prosedur operasi standard (SOP) di negeri berkenaan dapat dilonggarkan.

“Kita faham kuarantin 14 hari dikenakan terhadap individu dari Semenanjung untuk masuk ke negeri itu bagi mengekang penularan Covid-19 terutama di kawasan pedalaman.

“Kita berharap kerajaan Sarawak dapat membuat pengumuman mengenai permohonan itu,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail memberitahu, warga Malaysia di luar negara yang ingin pulang boleh terus berbuat demikian tanpa menjalani ujian calitan Covid-19 sekiranya tidak mampu membayarnya atau ia tidak disediakan di negara berkenaan.

Bagaimanapun, tambah beliau, mereka akan dikuarantin selama 10 hari berbanding tujuh hari sekiranya sudah menjalani ujian calitan Covid-19 tiga hari sebelum tarikh penerbangan.

Katanya, ini kerana kos ujian calitan di beberapa negara terlalu tinggi dan ada negara tidak menyediakan perkhidmatan berkenaan bagi individu yang ingin pulang ke negara masing-masing.

Bagaimanapun, ujar beliau, mereka boleh terus pulang ke negara ini dan akan menjalani proses kuarantin selama 10 hari. – MalaysiaGazette