KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan PKR Selangor yakin kepimpinan presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menerajui kekuatan demokratik ini bagi mencapai kejayaan menerapkan agenda reformasi.
Pengerusinya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PKR dan Pakatan Harapan perlu untuk kekal bersemangat, memperkemaskan tekad serta istiqamah menyusun kekuatan menghadapi persaingan politik di arena demokrasi negara.
“Sewajarnya iltizam Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi teladan kepada kita semua untuk terus menggembleng usaha dan buah fikiran bagi memperkuatkan ketumbukan pro-demokrasi yang merangkumi parti-parti politik dan segenap pertubuhan masyarakat madani,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Amirudin, berhadapan dengan ketidaktentuan politik semasa serta kesan melarat pandemik Covid-19 ketumbukan yang ada tidak boleh sama sekali terganggu daripada ikhtiar untuk membela nasib rakyat.
Justeru, katanya, jangan sesekali kita mengeluh dan jangan abaikan matlamat perjuangan bersama. Pertingkatkan usaha demi agenda reformasi.- MalaysiaGazette