Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuka pintu seluas-luasnya kepada rakyat yang berdepan masalah kepenggunaan untuk diselesaikan secara harmoni.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, dengan polisi pintu terbuka, orang ramai yang berdepan dengan apa sahaja masalah berhubung perkara tersebut boleh datang pada bila-bila masa.

Katanya, mereka juga boleh berjumpa dengan sesiapa sahaja di kementerian berkenaan dan tidak perlu risau kerana masalah yang dihadapi pasti akan dipermudahkan.

“Selagi saya menerajui kementerian ini dibantu oleh timbalan saya, Datuk Rosol Wahid dan juga semua pihak dalam kementerian, kami di sini sebagai satu pasukan kita nak KPDNHEP ini menjadi sebagai satu agensi yang terbuka.

“Maknanya ia memudahkan sesiapa sahaja di luar sana, orang biasa dan juga orang berniaga datanglah ke sini, jumpalah kami, kita pegang pada prinsip polisi pintu terbuka,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu temu bual baru-baru ini.

Alexander berkata, pihaknya akan cuba membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi pelanggan dan semua itu akan dilakukan melalui perbincangan.

Beliau turut menegaskan fungsi dan peranan kementerian bukan sekadar mengawal selia perdagangan sebaliknya fasilitator yang boleh memudahkan urusan komuniti peniaga dan pengguna.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika ditemubual di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ini kerana kata beliau, KPDNHEP memiliki peranannya tersendiri ekoran bidang utama kementerian itu sendiri adalah membantu mereka yang memerlukan serta mencari kaedah penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi. – MalaysiaGazette