Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Seramai 87,522 individu yang pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa diarah menjalani kuarantin wajib sehingga semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, kesemua mereka ditempatkan di 76 hotel dan 17 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,004 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib, 532 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan manakala baki sudah dibenarkan pulang.

“Kesemua mereka pulang dari 36 negara antaranya Filipina, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, hong Kong, India, Jepun dan Korea Selatan sejak 24 Julai lalu hingga semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri menambah, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga memeriksa 24 tapak pembinaan di seluruh negara semalam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 22 tapak pembinaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, manakala dua lagi tidak beroperasi.

Mengenai operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula, sebanyak 38 operasi dilaukan semalam membabitkan 13 zon merah, zon jingga (satu), zon kuning (14) dan satu zon hijau.

“Sejak 30 Mac lalu, KPKT sudah melaksanakan 12,747 operasi sanitasi awam merangkumi 137 zon setakat ini,” katanya. – MalaysiaGazette