Pekerja buruh binaan warga asing beratur bagi membuat saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan berikutan Perintah Kawaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang menerima pakai Pelan Strategik 2021-2025 akan melaksanakan beberapa aktiviti termasuk semakan semula undang-undang yang berkaitan, menjalankan kajian dan aktiviti promosi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu sosial dan budaya yang memberi kesan terhadap golongan rentan di Malaysia termasuk pekerja migran di negara ini.

Ini kerana, Suhakam mendakwa menerima banyak aduan mengenai dakwaan pencabulan hak asasi manusia yang dihadapi oleh pekerja migran.

Kebanyakan aduan yang diterima, antara lain, berkaitan dengan buruh paksa, pemerdagangan manusia, tidak dibayar gaji, majikan menyimpan dokumen pengenalan, kelewatan memperbaharui permit kerja, pembuangan kerja yang menyalahi undang-undang, penganiayaan dan kematian di tempat kerja.

Menurutnya, kerentanan pekerja migran terutamanya mereka yang tidak berdokumen diburukkan lagi dengan wabak Covid-19.

”Akibat daripada wabak ini, ramai pekerja migran kehilangan kerja dan sumber pendapatan serta mengalami cabaran untuk mendapatkan rawatan perubatan, makanan dan keperluan lain.

”Pekerja migran tidak mempunyai akses kepada bantuan kerajaan dan bekalan makanan kerana ia hanya diberikan kepada warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kebanyakan pekerja migran tinggal di rumah kongsi dan dalam sesetengah kes, terdapat lebih kurang 40 hingga 80 penghuni dalam sebuah rumah dan keadaan tempat tinggal tersebut yang sesak, meningkatkan risiko mereka untuk dijangkiti Covid-19.

Walaupun kerajaan telah menyediakan saringan kesihatan percuma kepada pekerja migran, kebanyakan daripada mereka yang tidak berdokumen masih enggan tampil untuk menjalani rawatan kesihatan kerana mereka bimbang akan ditangkap oleh pihak berkuasa.

Oleh itu, sempena memperingati Hari Migran Antarabangsa yang jatuh pada tanggal 18 Disember setiap tahun, Suhakam sekali lagi menyeru kerajaan dan entiti perniagaan untuk mempromosi dan melindungi hak pekerja migran di negara ini, selaras dengan piawaian antarabangsa hak asasi manusia.

Pada bulan Julai tahun ini, Kementerian Sumber Manusia telah menyatakan bahawa terdapat kira-kira 2.1 juta pekerja migran berdokumen di negara ini.

Bagaimanapun, tiada data yang jelas mengenai jumlah pekerja migran yang tidak berdokumen di negara ini. – MalaysiaGazette