Pasukan 'Todak Mobile Legends: Bang Bang' berjaya meraih tempat ketiga di Kejohanan M1 pada 2019.

KUALA LUMPUR – Berita baik buat peminat Mobile Legends apabila penyedia e-sukan terkemuka di Malaysia, Todak, melancarkan kursus atas talian secara percuma kepada penggemar sukan alaf baharu yang berminat untuk menjadi pemain profesional.

Pengurus Perkembangan e-sukan Todak, Radzi Rahman berkata, peserta yang berminat hanya perlu berdaftar dan 30 modul kursus yang merangkumi arena permainan Mobile Legends: Bang Bang akan diberikan secara atas talian dengan bimbingan daripada pemain Todak Mobile Legends yang bertanding di Kejohanan Dunia M2 di Singapura, bulan depan.

Menurutnya, peserta juga akan diberikan tunjuk ajar secara terperinci mengenai permainan ini oleh setiap pemain yang mempunyai kelebihan dan kehebatan tersendiri sekali gus membolehkan pemain Todak berkongsi ilmu bersama komuniti Mobile Legends: Bang Bang.

“Kursus ini diberikan secara percuma kerana kami ingin menjemput lebih ramai pemain di luar sana untuk bermain secara profesional. Ini kerana dengan wujudnya lebih ramai pemain yang mungkin mempunyai bakat terpendam, arena e-sukan bagi Mobile Legends: Bang Bang secara khususya akan menjadi lebih meriah,” katanya atau lebih dikenali sebagai Ikuto dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Untuk rekod, Todak sememangnya tidak asing dalam pembabitan dunia e-sukan di Malaysia dengan mereka mula bertapak dalam industri ini sejak tiga tahun lalu.

Pembabitan Todak dalam perkembangan e-sukan di Malaysia membuahkan hasil tersendiri dengan pasukan ‘Todak Mobile Legends: Bang Bang’ berjaya meraih tempat ketiga di Kejohanan M1 pada 2019.

Untuk maklumat lanjut mengenai E-bengkel ini, anda bolehlah layari laman media sosial Todak: Facebook: @todakofficial dan Instagram: @todakofficial – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast