PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUANTAN – Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian RM61,500 selepas terpedaya dengan kata-kata manis lelaki yang hanya dikenalinya di laman sosial Facebook selama beberapa bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 73 tahun mendakwa mula berkenalan dengan suspek sekitar April dan hubungan itu semakin rapat sehingga menjadi pasangan kekasih.

“Mangsa mendakwa pada penghujung November lepas, suspek menyatakan hasrat untuk meminjam wang sebanyak RM100,000 kerana berdepan masalah kewangan dan memberi jaminan akan memulangkannya kembali apabila keadaan semakin baik.

“Atas dasar percaya, mangsa meminjamkan wang RM61,500 yang dimasukkan ke dalam akaun diberikan suspek menerusi mesin deposit tunai (CDM) sebanyak empat kali dengan transaksi terakhir dibuat pagi semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa hanya mengetahui dirinya ditipu selepas dihubungi pihak bank pada petang semalam, bagi membuat semakan selepas melihat transaksi pengeluaran simpanan dalam jumlah yang besar.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bentong kira-kira 162 kilometer dari sini semalam dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.