Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai 672 individu telah ditahan dan dikompaun atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob setiap daripada mereka telah dikompaun atas kesalahan ingkar PKP.

Dalam kenyataan media harian hari ini, beliau berkata,  daripada jumlah itu, 643 telah dikompaun dan 29 direman.

“Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 45,483 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (442), tidak memakai pelitup muka (90), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (78), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (37) dan lain-lain (25),” katanya sebentar tadi.

Ismail Sabri juga mendedahkan sebanyak 2,368 pasukan pematuhan melibatkan 10,582 anggota telah membuat pemantauan di 3,482 pasar raya, 4,814 restoran serta 1,572 penjaja, 1,238 kilang, 3,124 bank dan 699 pejabat kerajaan.

“Sebanyak 941 terminal pengangkutan darat, 235 terminal pengangkutan air serta 84 terminal pengangkutan udara juga dipantau,” ujarnya. -MalaysiaGazette